UNDANG-UNDANG KEHARMONIAN NASIONAL PERLU DIKAJI

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nancy Shukri menyatakan dalam wawancara beliau dengan The Sunday Star baru-baru ini (19 Januari 2014) bahawa Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional yang dicadangkan tidak seharusnya digesa untuk dibentang di Parlimen.

Kenyataan oleh Menteri ini patut dipuji malah beliau sendiri harus diberi pujian atas pendirian tersebut.

Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional yang dicadangkan itu adalah amat penting kerana ia melibatkan keamanan dan keharmonian di negara kita yang berbilang kaum.

Satu Rang Undang-Undang yang penting mesti dikaji dan digubal dengan teliti sebelum dibentangkan di Parlimen untuk dibahaskan.

Menteri sepatutnya melibatkan ahli-ahli politik dari kedua-dua pihak pembangkang dan kerajaan untuk mendapatkan maklum balas mereka mengenai rang undang-undang yang dicadangkan.

Kerajaan juga mesti melibatkan badan NGO, pertubuhan agama dan pelbagai lapisan masyarakat sebelum membentangkan Rang Undang-Undang di Parlimen.

Malah, apa yang perlu dilakukan adalah merujuk rang undang-undang yang dicadangkan itu kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen untuk diteliti sebelum dibentangkan di Parlimen.

Jawatankuasa Pilihan Parlimen juga boleh memberi maklum balas kepada orang ramai mengenai Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional yang dicadangkan.

Melihat akan keadaan hubungan kaum di kalangan masyarakat kita pada hari ini, adalah perlu untuk kita mempertimbangkan undang-undang yang sesuai bagi mengukuhkan keharmonian serta mendidik orang ramai mengenai cara dan kaedah untuk memupuk persefahaman di antara pelbagai kaum di Malaysia.

Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional yang dicadangkan merupakan salah satu instrumen bagi mencapai matlamat itu.

Sebelum melakukan sebarang penggubalan ke atas mana-mana rang undang-undang baru, pemahaman tentang konsep keharmonian negara adalah perlu dimana bukan sahaja sekadar mempromosikan keharmonian antara kaum dan agama yang berbeza malah juga di antara kumpulan sosio-ekonomi yang berbeza serta parti-parti politik.

Dalam mempertimbangkan Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional yang dicadangkan ini apa yang perlu kita sedar adalah keperluan untuk mengambil langkah berterusan bagi menggalakkan amalan saling menghormati dan persefahaman di kalangan kumpulan etnik dan agama yang berbeza.

Perbezaan pendapat di kalangan parti-parti politik di negara kita tidak boleh dianggap sebagai penyebab kepada ketidakharmonian asalkan perbezaan ini tidak melibatakan keganasan.

Menerima agama Islam sebagai agama rasmi dan mengiktiraf hak-hak agama orang bukan Islam sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dapat membantu dalam mengukuhkan keharmonian.

Pengiktirafan dan menghormati hak-hak sah semua kaum serta sebagai warganegara yang bertanggungjawab juga akan membantu dalam memastikan keharmonian dalam negara kita yang berbilang kaum.

Sekiranya Akta Keharmonian Nasional diperkenalkan nanti, ia perlu dilaksanakan dengan adil dan saksama.

Pelaksanaan undang-undang yang dicadangkan itu perlu dipantau dan dinilai setiap lima tahun bagi menentukan keberkesanan dan kegunaannya.

 

Image source: thesheaf.com

Recent Posts