SISTEM DIRAJA, PERLEMBAGAAN DAN PENTADBIRAN

Seperti beberapa badan-badan bukan kerajaan yang lain, Yayasan 1 Malaysia juga terpanggil untuk menyuarakan keperihatinannya tentang satu rang undang-undang baru yang akan dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri Johor pada Isnin depan yang akan memberi kuasa kepada Sultan Johor untuk terlibat secara langsung dalam pentadbiran kerajaan negeri. Rang undang-undang yang dicadangkan itu memberi kuasa kepada sultan untuk menyelia akaun Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) yang secara langsung terlibat dalam pembangunan di negeri Johor.

Media melaporkan bahawa rang undang-undang ini juga memberi kuasa kepada sultan untuk membubar dan melantik ahli lembaga pengarah baharu, menentukan jumlah elaun dan saraan mereka serta melantik seorang pengarah sebagai Ketua Eksekutif LPHJ. Ahli lembaga LPHJ yang dilantik itu juga akan mengambil alih pengurusan pembangunan perumahan dan hartanah di negeri Johor.

Sekiranya rang undang-undang ini diluluskan, Johor akan menjadi negeri pertama di Malaysia yang memberi kuasa kepada sultan untuk melibatkan diri dalam pentadbiran kerajaan. Ini membawa implikasi serius kepada pembahagiaan kuasa dalam sistem pemerintahan negara kita. Sultan sebagai raja berperlembagaan tidak harus terlibat secara langsung dalam pentadbiran negeri.

Integriti jawatan sultan bersandar kepada kedudukannya sebagai simbol negeri yang mengatasi agensi-agensi pentadbirannya. Ini penting untuk melindungi imej dan kredibiliti jawatan serta kedudukan sultan sebagai insan yang paling tinggi kedudukannya dalam struktur pemerintahan negeri.

Yayasan 1 Malaysia berharap agar kerajaan negeri Johor tidak meluluskan rang undang-undang yang dicadangkan itu kerana sudah pasti ia akan menjejaskan prinsip-prinsip pemerintahan yang mulia yang telah sekian lama mempertahankan kejayaan kita sebagai sebuah negara yang berteraskan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Image source: perhebatkan.blogspot.com

Recent Posts