EMPATI DALAM RAMADAN

Betapa bulan Ramadan adalah bulan yang sangat mulia dan tinggi fadhilatnya bagi seluruh umat Islam di seluruh dunia yang berpuasa menahan lapar dahaga secara fizikal dan mengekang hawa nafsu secara spiritual.

Ramadan adalah bulan perpaduan umat Islam dimana kesatuannya wujud di seluruh dunia. Bermula daripada timur di Jepun sehingga ke bahagian barat Amerika seluruh umat islam beserta umat Islam di Asia, Eropah dan Afrika menunaikan ibadah fardu berpuasa pada bulan Ramadan yang sama dengan mematuhi kesemua Rukun Islam yang terangkum melalui syahadah, solat, puasa, zakat dan haji.

Bulan Ramadan adalah bulan mendidik masyarakat nilai empati kerana ia berjaya memaut kasih dan sayang sesama kita sebagai sebuah negara bangsa. Perpaduan menjadi nyata sewaktu umat Islam berpuasa , masyarakat bukan islam akan menunjukkan semangat toleransi dan hormat kepada rakan-rakan mereka yang berpuasa di samping dapat menikmati pelbagai juadah makanan yang mungkin hadir setahun sekali di pasar-pasar Ramadan.

Amalan melunaskan tanggung jawab zakat dan fitrah, bersedekah, infak kebajikan, menggembirakan anak yatim, menjaga kebajikan fakir miskin dan sebagainya adalah merupakan pendekatan nilai empati yang perlu di angkat menjadi ritual harian masyarakat.

Keperihatinan kita terhadap mereka yang kurang bernasib baik adalah budaya yang begitu berharga untuk kita hayati dan kita amalkan. Kekayaan , kesenangan,pangkat dan kuasa tidak harus mengikis nilai empati kita dalam melaksanakan hak dan menjalankan tanggungjawab samada sebagai individu mahupun sebagai penjawat awam atau swasta.

Empati terhadap nasib golongan yang tidak sebaik kita akan memberi gambaran jasmaniah dan rohaniah yang mampu menginsafkan kita untuk bermuafakat, bekerjasama dan bersatu malah mampu mengekalkannya sebagai satu cara hidup kita. Dengan merasai atau meletakkan diri kita di dalam keadaan memerlukan akan membuat kita lebih bersungguh-sungguh secara ikhlas hati dengan bukan sekadar untuk menghulurkan bantuan malah berusaha untuk menyelesaikan masalah yang di hadapi.

Mari kita menikmati budaya bangsa yang sentiasa bersyukur serta insaf dengan memperkukuh pendekatan dengan melakukan apa yang kita harapkan daripada orang lain lakukan terhadap diri kita. Ramadan adalah bulan mengasuh empati dan seharusnya menginsafkan kita agar tidak meneruskan perbuatan dan percakapan keji yang dipenuhi maksiat, menabur fitnah, berbohong, melakukan rasuah, mengumpat keji dan mencaci.

Marilah kita jadikan Ramadan kali ini bukan sekadar bulan untuk beramal ibadat untuk umat Islam semata-mata malah sebagai titik mula bagi seluruh rakyat Malaysia untuk menjana perpaduan.

Image source: depoknews.id/

Recent Posts