UCAPAN TAKZIAH DIATAS PEMERGIAN TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT KE RAHMATULLAH

Al-Fatihah

Saya bagi pihak ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1 Malaysia ingin menyampaikan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga  dan rakyat Kelantan  di atas pemergian Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang telah pulang ke Rahmatullah pada 12 Februari 2015.

Yayasan 1 Malaysia turut berasa sedih dan hiba di atas kehilangan dan pemergian seorang pemimpin yang terkenal dengan sifat kesederhanaanya ini. Saya secara individu mengenali  Allahyarham Datuk Nik Aziz atau lebih mesra dengan panggilan Tok Guru bermula pada tahun 1971. Itu adalah di waktu semasa saya melakukan kajian untuk memenuhi kehendak ijazah sarjana di mana saya mendapat peluang menemuramah Allahyarham berkaitan tajuk tesis yang berkaitan parti-parti politik Malaysia.

Pada tahun 1991 saya di beri peluang kedua bersua muka dengan Allahyarham Tok Guru tatkala beberapa bulan selepas pilihanraya negeri Kelantan 1990. Ingatan saya masih segar terhadap sifat keihsanan Tok Guru di mana beliau sebagai Menteri Besar Kelantan,  memilih untuk datang ketempat penginapan saya di Kota Bharu kerana perihatin tentang keadaan fizikal saya. Kami berkesempatan untuk berbincang tentang isu-isu urus tadbir negeri Kelantan.

Selepas saya menceburi arena politik kepartian pada tahun 1999 di atas kapasiti Timbalan President Parti Keadilan Nasional yang kini dikenali sebagai Parti Keadilan Raykat (PKR), saya  berinteraksi dengan Tok Guru beberapa kali serta bersama-sama beliau memberi ceramah di atas pentas politik  dalam tempoh 2 tahun kemudian. Namun semenjak saya mengundurkan diri dari gelanggang politik pada penghujung 2001, saya tidak berkesempatan lagi bertemu dengan Tok Guru.

Walaupun pendirian saya terhadap persoalan masyarakat dan agama agak berbeza dengan Tok Guru, saya amat menghormati beliau di atas sifat unggul yang ada di dalam diri beliau yang amat jarang dapat kita temui  dari seorang pemimpin.

Beliau adalah segelintir pemimpin politik di negara ini yang berpegang kepada prinsip integriti di sepanjang kerjaya politik beliau. Dari persepsi umum, beliau bebas daripada unsur-unsur rasuah dan penyelewengan yang lazimnya banyak membayangi dan menghantui beberapa ahli politik di negara ini.

Beliau menunaikan amanah sebagai pemimpin dengan sebaik mungkin dimana nilai-nilai Islam di dalam peranan dan tanggungjawab seorang pemimpin menjadi tonggak yang mempengaruhi karektor beliau.

Rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan kaum akan mengenang  Tok Guru dengan legasi  integriti beliau. Mereka akan terus menyanjung tinggi sumbangan beliau kepada negara Malaysia berdasarkan kesederhanaan, kebertanggungjawaban dan integriti yang tinggi.

Al Fatihah…….

Image source: www.ismaweb.net

Recent Posts