Isu Bauksit, Keuntungan yang Memudaratkan

Isu bauksit, keuntungan yang memudaratkan.

Bermula pada pertengahan tahun ini isu bauksit di Pahang sememangnya sudah menjadi perkara yang menyusahkan masyarakat di sekitar Pahang. Antara kawasan yang terjejas teruk akibat bauksit ini ialah Kuantan ibu negeri Pahang. Aktiviti perlombongan bauksit di sekitar Kuantan menjadi antara isu hangat di kalangan masyarakat setempat sejak pertengahan tahun lalu. Selain itu, ia turut menjadi perdebatan antara ahli politik. Bukan sekadar masalah alam sekitar, malah isu bauksit baru-baru ini menjadi lebih hangat selepas seorang guru maut setelah kereta yang dinaikinya terkena tayar tengah lori membawa muatan bauksit yang tercabut.

Tuntutan demi tuntutan dibuat oleh masyarakat antaranya membuat aduan, menggantung sepanduk dan meminta campur tangan pihak berkuatkuasa seperti mencurah garam ke lautan kerana tiada tindakan yang dilihat dapat mengurangkan aktiviti ini. Baru-baru ini selepas sebuah lori bauksit dibakar oleh penduduk tempatan, barulah isu ini mula dipandang dan diambil perhatian. Kesan daripada peristiwa tersebut, mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, atau Dr.MAZA, menggesa supaya isu bauksit di Pahang segera diatasi.

Kerajaan seharusnya mengambil langkah yang lebih proaktif dalam menyelesaikan isu ini berikutan tindakan drastik yang telah diambil oleh penduduk tempatan. Membakar sebuah lori boleh kita lihat sebagai satu percikan yang akan menyalakan lagi api kemarahan penduduk tempatan. Selepas ini mungkin lebih banyak kemusnahan yang akan dilakukan sendiri oleh tangan-tangan manusia sekitar Kuantan ini.

Seharusnya pihak yang bertanggungjawab harus mengatasi segera masalah pencemaran bauksit ini yang sememangnya telah mendatangkan kesusahan kepada penduduk setempat. Kerakusan dalam meraih keuntungan sehingga menyusahkan masyarakat sekeliling adalah suatu perkara yang melanggar etika perniagaan. Seharusnya, kesejahteraan adalah perkara yang perlu diberi penekanan. Kerakusan meraih untung ini akhirnya sedikit demi sedikit akan menghapuskan norma kemanusiaan kepada penduduk yang mula hilang sabar akibat kesejahteraan mereka tidak dipeduli oleh kapitalis tidak berperikemanusiaan.

Justeru, pihak yang berkenaan digesa untuk memandang serius isu bauksit ini dan mengaplikasikan inisiatif yang boleh menyelesaikan masalah ini sesegera mungkin. Berhentilah melindungi kepentingan dan keuntungan perniagaan bagi mengelakkan isu bauksit ini menjadi lebih memudaratkan, bukan sahaja kepada kesihatan, malah kepada keselamatan insan.

 

 

Image source: http://bharian.com.my/

Recent Posts