Kuasa rakyat vs Penguatkuasa.

Beberapa bulan sebelum ini isu Low Yat yang melibatkan dua kaum di Malaysia dicetuskan hanya angkara pembelian yang tidak jujur melibatkan peniaga dan pembeli. Belum reda isu ini, kita dikejutkan sekali lagi dengan cerita yang hampir sama, tentang penipuan barang elektronik yang melibatkan pembeli dan peniaga yang tidak jujur. Persamaan yang jelas dimainkan dan dijadikan isu utama ialah tentang isu perkauman dan isu ketidakjujuran peniaga yang mengaut untung dengan cara menipu. Selain itu, tidak kurang juga yang mengatakan isu ini membabitkan hak pengguna yang ditipu. Tetapi adakah benar semua punca ini menjadi punca utama yang menyebabkan isu ini menjadi polemik dalam kalangan media massa.

Melihat dari sudut pandang yang lain, kita seharusnya sudah boleh mula berfikir siapa sebenarnya yang berkuatkuasa untuk menghalang perkara ini berlaku. Isu penipuan dalam perniagaan ini bukanlah isu pertama yang berlaku di kompleks Kotaraya mahupun di lain-lain kompleks. Penipuan ini berlaku hampir di setiap lokasi urus niaga. Namun begitu, apa tindakan penguatkuasa untuk membanteras isu ini? Berapa kali dalam sebulan setiap gedung ini diperiksa kejujuran dan keikhlasan mereka dalam melaksanakan urusan perniagaan. Tidak dapat dinafikan, kerana kurangnya pemantauan daripada pihak kerajaan maka nilai integriti hilang dalam kalangan peniaga.

Apabila peniaga sudah mula melampaui batas integriti, pembeli yang terdiri daripada kalangan rakyat akan menjadi mangsanya. Pengguna pada masa ini semakin bijak, mereka tidak dapat ditipu dengan mudah. Apabila ada saja perkara yang mereka rasa tidak kena dalam urusan jual beli maka mereka akan mengadu kepada pihak penguatkuasa khasnya tribunal tuntutan pengguna.Namun apa tindakan selanjutnya? Kurangnya tindakan dari pihak penguatkuasa menjadikan rakyat memilih untuk bertindak sendiri menggunakan kekerasan yang mereka gelar kuasa rakyat.

Seharusnya pihak penguatkuasa harus sedar bahawa kes kes yang melibatkan keganasan yang dilakukan sendiri oleh rakyat adalah kerana mereka telah hilang kepercayaan terhadap pihak penguatkuasa yang terlalu banyak karenah birokrasinya dalam menuntut hak mereka. Ketidakefisienan penguatkuasa telah menyebabkan rakyat Malaysia mula merasakan bahawa mereka harus menyelesaikan sendiri isu yang melibatkan wang, maruah dan hak mereka. Laungan berani kerana benar yang sebetulnya merujuk kepada sikap berani tak bertempat akhirnya mencetuskan banyak aktiviti pergaduhan dan keganasan. Kes di Plaza Low Yat dan Kompleks Kota Raya hanyalah dua kisah yang disebarkan. Terdapat ratusan lagi kes yang tidak mendapat perhatian.

Akhir kata, penguatkuasa, dan segala pihak yang seharusnya mengawal segala ketirisan ini haruslah berusaha untuk menghadapi masalah ini dengan lebih efisien. Pemantauan yang berterusan serta penyelesaian masalah yang cekap dan pantas akan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap penguatkuasa dan menghalang ketidakjujuran peniaga dalam urusan jual beli. Jika langkah mencegah ini tidak dilakukan secara berterusan, maka kedaulatan undang-undang adalah nilai yang akhirnya akan menjadi lafaz yang dibaca hari Isnin ketika perhimpunan rasmi sekolah sahaja

Image source: http://davewolland.blogspot.my/

Recent Posts