Azam yang Semakin Pudar

Menjelang tahun 2016, Malaysia semakin matang dalam beberapa siri kemajuan. Pembangunan dan kejayaan bergerak seiring dalam pelbagai aspek sama ada ekonomi, sukan, kesenian, kerohanian dan intelektual. Walaupun daripada segi ekonomi, rakyat sedang dalam keadaan menanggung beban hidup yang semakin menghimpit sehingga seorang timbalan menteri terpaksa mencadangkan alternatif dua kerja sebagai langkah penyelesaian, kita masih lagi di landasan yang tepat dalam mencapai ekonomi mapan.

Transformasi demi transformasi yang menyerlahkan Malaysia di mata dunia telah berjaya membawa kita berdiri sama tinggi dengan negara membangun yang lain. Ketidaktentuan harga minyak dunia yang sedikit menjejaskan nilai ringgit telah menyaksikan kerajaan lebih memberi tumpuan terhadap masalah pemulihan ekonomi. Dalam kerancakkan menangani masalah ini kita seakan sudah terlupa akan satu azam yang pernah digagaskan pada 2 April 2009 oleh Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Gagasan yang dimaksudkan ialah gagasan 1Malaysia, rakyat didahulukan pencapaian diutamakan. Gagasan yang berteraskan perpaduan sebagai matlamat utama ini merupakan satu transformasi yang dibina untuk matlamat jangka masa panjang. Selain itu, gagasan ini ialah penerus legasi perpaduan untuk masyarakat majmuk di Malaysia. Namun begitu, azam ini seakan sumbu pelita yang disimbah air. Pelbagai inisiatif dilakukan atas nama 1Malaysia tetapi ia lebih berbentuk mendatangkan faedah dari aspek ekonomi.

Bantuan Rakyat 1Malaysia, Projek Perumahan 1Malaysia, Baucer Buku 1Malaysia, Klinik Rakyat 1Malaysia, antara inisiatif kerajaan yang mendahulukan rakyat khasnya dari aspek ekonomi. Tidak ketinggalan juga kisah 1MDB sebagai salah satu agenda satu Malaysia yang membingungkan rakyat. Peningkatan kos sara hidup pada masa kini telah menyaksikan kerelavanan beberapa inisiatif ini. Walau bagaimanapun, ia tidak begitu menyumbang khususnya daripada segi perpaduan antara kaum.

2015 telah menyaksikan angin perkauman kembali bertiup kencang. Tragedi Low Yat yang pernah mewujudkan rasa ketidakpuasan hati dua kaum di Malaysia telah membawa kepada beberapa impak negatif. Bersih 4.0 juga telah menjadi tempat sentimen perkauman diusik. Bersih 4.0 dianggap sebagai perhimpunan kaum Cina hanya kerana kaum Cina merupakan majoriti yang hadir pada perhimpunan tersebut. Susulan Bersih 4.0, satu lagi perhimpunan yang dianjurkan oleh Perkasa telah menjadi medan perhimpunan kaum Melayu di tengah bandar raya. Dua keadaan ini seakan ingin memberitahu bahawa semangat 1Malaysia sudah semakin pudar.

Usaha Yayasan 1 Malaysia mengisytiharkan Kuching sebagai Bandaraya Perpaduan pada bulan Ogos yang lepas seakan tidak cukup untuk memperlihatkan bahawa masih ada pihak yang komited untuk mengkomersialkan perpaduan di peringkat kebangsaan. Pada hari ini laungan satu Malaysia sudah tidak lagi menjadi satu simbolik di majlis-majlis kerajaan. Mungkin benar bahawa perpaduan sudah tidak lagi dipandang serius oleh pucuk pimpinan.

Menjelang tahun 2016 ini, semangat 1Malaysia seharusnya perlu dibangkitkan semula. Perpaduan kaum adalah perkara yang paling utama dalam masyarakat berbilang kaum. Meski perpaduan tidak mendatangkan keuntungan daripada segi wang ringgit, tetapi perpaduan akan mendatangkan  keuntungan daripada pelbagai jenis aspek yang lain khasnya kesejahteraan Malaysia. Sehubungan dengan itu, kerajaan, dan masyarakat disarankan untuk menghidupkan kembali laungan perpaduan 1 Malaysia yang kian sayup kedengaran pada masa kini. Penghujung kata, benar kita boleh pergi laju dengan berlari seorang diri, tetapi kita mampu untuk pergi lebih jauh, jika kita berjalan bersama-sama.

Image source: utusan.com.my

Recent Posts