Esok Lebih Baik Dari Semalam

Hari ini perlu lebih baik daripada semalam. Jika semalam kita bermuram durja maka hari ini kita perlu ceria. Jika hari ini kita ceria, maka esok perlu lebih ceria. Perubahan perlu dalam kehidupan. Berbicara mengenai perubahan, kita sebagai manusia mempunyai kuasa untuk mengubah sesuatu usaha. Ada perkara yang sememangnya tidak boleh diubah. Tetapi ada perkara yang kita perlu ubah sesuai dengan keadaan semasa.

Pengumuman Yang Amat Berhormat Perdana Menteri tentang semakan semula bajet 2016 dilihat sebagai suatu perubahan yang perlu. Semakan semula ini bagi menyelaraskan semula perbelanjaan negara yang sememangnya akan terkesan dengan kejatuhan harga minyak dunia. Beberapa tahun kebelakangan ini, kebiasaannya kita biasa mendengar tentang penambahan dana untuk menampung bajet, namun tindakan kali ini luar daripada kebiasaan dan mula mencetuskan kegusaran dalam beberapa sektor.

Sebelum semakan semula dibuat, banyak pihak meletakkan harapan kepada Perdana Menteri agar sektor mereka tidak mengalami kekurangan bajet.  Masing-masing dengan pendirian berharap agar peruntukan mereka tidak dikurangkan dalam penyemakan semula bajet 2016 ini. Secara egosentriknya pasti semua akan mempertahankan kepentingan sektor masing-masing. Namun begitu, keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri kebiasaannya haruslah berteraskan keperluan rakyat dan bukan sekadar kepentingan suatu sektor semata-mata. Ini kerana dalam apa jua pelaksanaan dasar kerajaan ataupun keputusan yang dibuat oleh pemimpin, golongan yang paling merasa akibatnya ialah golongan rakyat. Justeru, rakyat mestilah didahulukan.

Semua sedia maklum pengurangan besar bajet 2016 dalam bidang pendidikan khususnya pendidikan tinggi telah menzahirkan sedikit ketidakpuasan hati khususnya golongan mahasiswa. Rasionalnya mungkin boleh difahami apabila kerajaan menggesa pihak universiti untuk berusaha menggembleng dana sendiri dan tidak terlalu berharap dengan insentif yang diberi. Penyemakan semula bajet kali ini mungkin akan mewujudkan lebih banyak ketidakpuasan hati daripada pelbagai sektor. Walau bagaimanapun, kerasionalan keputusan yang dibuat haruslah boleh diterima dengan senang hati.

Pada dasarnya, penstukturan semula bajet ini perlu dijadikan satu platform untuk menampakkan keprihatinan kerajaan terhadap ekonomi dan rakyat. Langkah seperti menambah insentif berbentuk jangka masa panjang dilihat lebih menguntungkan masyarakat secara keseluruhan. Selain itu, penambahbaikan pada bajet juga akan menjadi batu loncatan untuk memenangi hati rakyat yang semakin tertekan menghadapi pelbagai masalah ekonomi seperti kenaikan harga barang dan penambahan harga untuk perkhidmatan seperti tol dan pengangkutan awam. Sebagai pembuat keputusan, Perdana Menteri perlu berfikir lebih jauh ke hadapan dalam menangani isu harga minyak dunia yang menjejaskan pendapatan negara ini. Keputusan yang dibuat tidak boleh bersifat ad-hoc sebaliknya mampu memacu negara ke arah menjadi sebuah negara berdaya saing dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

Sebagai penutup, negara sedang berusaha untuk berubah dan menyesuaikan diri dengan keadaan ekonomi semasa. Harga minyak dunia, bukan sekadar perkara yang boleh dianggap biasa. Kejatuhannya mencetuskan masalah ekonomi di setiap pelosok dunia. Kita perlu berubah selaras dengan apa yang berlaku hari ini. Harapan seluruh rakyat jelata ialah supaya perubahan kali ini adalah lebih baik dari yang sebelumnya. Semoga ada berita gembira untuk seluruh rakyat Malaysia. Harapan seluruh rakyat Malaysia semoga hari esok lebih baik dari semalam.

Image source: www.irishtimes.com

Recent Posts