Masalah Perkauman atau Masalah Pendidik

Harapan untuk melihat semangat 1 Malaysia pada tahun ini menjadi lebih utuh dan dikuatkan seakan berhadapan dengan satu tentangan yang agak sukar. Ketika kita masih lagi di bulan pertama dalam kalen dar 2016, isu perkauman telah pun mengambil tempat di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Pai Chee Mersing Johor. Menurut laporan yang dikeluarkan sebelum ini kebanyakan pihak melihat kes ini sebagai masalah sekolah semata-mata bukan berdasarkan perkauman. Malah pihak berkaitan juga menggesa agar kisah ini tidak membangkitkan sentimen perkauman.

Walau bagaimanapun, berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh guru sekolah berkenaan menunjukkan jelas seolah-olah dia tidak berpuas hati apabila diserang oleh bapa murid sekolah berkenaan dan lebih memeritkan apabila dia berasa tidak  dilindungi oleh sekolah berkenaan. Kes ini ditambah lagi dengan dakwaan mengatakan guru besar sekolah tersebut pernah mengadukan guru-guru Melayu ini kepada pejabat pelajaran daerah dengan menyatakan mereka tidak memerlukan guru Melayu di sekolah tersebut.

Kes ini boleh membawa kepada dua perspektif. Pertamanya ialah, kewujudan sentimen perkauman di kawasan sekolah jenis kebangsaan. Kita sedar untuk sekolah seperti ini semangat perkauman seharusnya tidak menjadi isu utama. Profesionalisme seorang guru, khususnya berbangsa Malaysia, mereka sudah sebati bahawa isu perkauman adalah sesuatu yang harus dihapuskan dalam sektor pendidikan. Guru-guru yang dipilih seharusnya telah menjalani latihan yang cukup untuk mengelakkan mereka daripada terlibat dengan isu perkauman.

Keduanya, isu profesionalisme guru dan ibu bapa. Tindakan menyerang golongan pendidik di sekolah oleh mereka yang bergelar ibu bapa sememangnya sudah menjadi kebiasaan sekarang. Pada zaman ini, golongan pendidik tidak lagi dihormati seperti zaman lepas. Sifat merendah-rendahkan kemampuan dan mencabar tindakan guru telah menjadi sebati dengan masyarakat zaman kini. Perkara yang boleh kita kaitkan dengan peristiwa ini ialah lebih menjurus kepada tidak hormatnya masyarakat kepada golongan pendidik. Hanya kerana ia terjadi di sekolah jenis kebangsaan maka ia dikaitkan dengan sentimen perkauman.

Bagi menangani isu ini, penyiasatan yang adil harus diambil sebagai prasyarat yang utama. Penyiasatan yang menyebelahi kepentingan sesuatu kaum sama sekali perlu dielakkan. Ini kerana isu pendidikan seharusnya tidak dikaitkan dengan perkauman. Justeru, penyiasatan yang hendak dijalankan perlu bersifat telus bagi melahirkan rasa ketidakpuasan hati kepada mana-mana pihak.

Isu seperti SJK (C) Pai Chee ini bukanlah sesuatu yang asing kerana memang terdapat banyak aduan tentang kes-kes perkauman di sekolah yang pernah berlaku. Lantaran itu, Yayasan 1Malaysia mencadangkan agar satu bancian dapat dilakukan terhadap sikap guru sesuatu kaum terhadap kaum yang lain di sekolah.  Kajian menyeluruh ini dapat menilai sejauh mana isu perpaduan dalam kalangan guru di seluruh Malaysia terhadap kaum lain. Melalui bancian ini juga kita dapat mewujudkan satu kayu ukur tentang penerimaan kaum lain dalam sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan yang wujud di Malaysia.

Seharusnya setiap lapisan masyarakat haruslah berpegang pada konsep perpaduan dalam menyelesaikan sesuatu perkara khasnya yang melibatkan pelbagai kaum. Kita bina jambatan perpaduan daripada sekolah jenis kebangsaan tetapi kita gagal menjaganya dengan baik kerana tiada kerjasama yang utuh. Kes SJK C Pai Chee ini seharusnya dijadikan iktibar oleh setiap institusi pendidikan yang lain dalam menyelesaikan hal yang melibatkan perpaduan. Ambillah pendekatan yang sewajarnya seperti menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak. Semoga perpaduan tidak akan terhapus, dan 1Malaysia akan terus boleh disorak.

Image source: themalaymailonline.com

Recent Posts