DLP – Kita Belum Bersedia

Saat Program Dwibahasa (DLP) sungguh-sungguh hendak diperjuangkan oleh mereka yang merasakan bahasa Melayu sahaja tidak mampu menawan dunia, hari ini, kajian mendapati guru bahasa Inggeris masih belum bersedia untuk menjadi pengajar bahasa Inggeris di sekolah-sekolah kerajaan sama ada rendah ataupun menengah. Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan, seramai 15000 orang guru bahasa Inggeris di negara ini tidak bersedia sepenuhnya untuk mengajar bahasa Inggeris kepada pelajar di sekolah.

Jika kita lihat pada isu ini, adakah kita masih lagi yakin untuk mengaplikasikan program DLP ke dalam sistem pembelajaran di sekolah? Tanpa menafikan bahasa Inggeris ialah bahasa dunia yang memudahkan negara menghadapi kemajuan di peringkat global. Walau bagaimanapun, kita tidak perlulah terlalu bersungguh-sungguh ingin mengimplementasikan program rintis dwibahasa ini sekiranya kita tidak bersedia daripada segi kualiti dan kuantiti tenaga pengajar dan pelajar.

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun ini menunjukkan penurunan subjek bahasa inggeris yang menggesa kerajaan untuk mengaplikasikan program DLP sesegera mungkin. Persoalannya, adakah dengan adanya DLP kita akan terus berjaya. Benar, tak cuba maka tak tahu, tetapi kenapa jadikan pelajar yang tidak berdosa sebagai tikus makmal untuk ujikaji yang tidak pasti keputusannya.

Kita telah banyak kali mengubah dasar demi dasar sehingga menjadikan pelajar keliru dan sukar memahami mata pelajaran yang diajar dua bahasa ini. Sejak zaman Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Inggeris (PPSMI), kepada Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI), hinggalah kepada DLP, kita sebenarnya tidak bersedia daripada segi perancangan mata pelajaran kita khasnya untuk penggunaan bahasa pengantar dalam pendidikan. Walaupun kita telah bersetuju secara perlembagaannya untuk menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan, tetapi ia hanya dasar yang kita ambil secara fleksibel kononnya demi kemasalahatan sektor pendidikan kita.

Kita seharusnya berpegang kukuh pada satu sistem dan terus menerus memperbaiki dan mempertahankannya. Yang kurang ditambah, yang gagal dibaiki. Kita kerap mengikut bidalan sekali air bah sekali pantai berubah. Setiap kali pemimpin bertukar kita akan cuba ubah segalanya. Seeloknya bahasa yang digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah dikekalkan kepada satu bahasa sahaja. Tidak perlu ubah, tetapi yang kurang ditambah. Tiada siapa dapat menolak kenyataan bahawa kita perlu berusaha memperkukuhkan bahasa Inggeris, tetapi kita harus sedar, kita sahajalah bangsa di di dunia ini yang ditugaskan untuk memajukan bahasa ibunda kita sendiri. Jika kita memandang terlalu jauh, gusar kita tidak akan nampak apa yang sebenarnya kita perlu pelihara. Yang jauh kita kejar, yang ditangan jatuh dan hilang.

Sejujurnya, semua pihak harus bersikap lebih bersedia dalam menentukan sesuatu keputusan yang mempunyai impak menyeluruh kepada masyarakat. Pelaksanaan DLP ini merupakan sesuatu yang mempunyai impak jangka masa panjang dan berterusan. Jika ia hendak dilaksanakan sebagai percubaan maka nasibnya kelak akan sama seperti PPSMI, MBMMBI dan dasar-dasar sebelum ini. Justeru, ambil satu masa yang lebih panjang untuk memikirkan kesan baik dan buruk program ini supaya ia tidak bersifat sementara. Buat masa sekarang, kita belum bersedia untuk melaksanakannya atas pelbagai kekangan. Lantaran itu, sediakanlah kekuatan daripada segi tenaga pengajar dan kekuatan subjek untuk memastikan program ini berjaya mendapat tempat yang lama dalam sistem pendidikan negara. Tidak perlu terburu-buru dalam mengubah sesuatu, yang penting perubahan tersebut padu dan mampu menjunjung tinggi institusi ilmu.

 
Image source: examiner.com

Recent Posts