Bila tiba bulan ogos

Sampailah kita ke bulan ini. Apa istimewanya bulan Ogos? Ogos adalah bulan kelapan dalam sebuah tahun dalam kalendar Gregory dan merupakan salah satu bulan yang mempunyai 31 hari. Bulan ini dinamakan “Ogos” bersempena nama tokoh Augustus Caesar dan mempunyai 31 hari supaya sama dengan bulan Julai. Sebelumnya ia dipanggil Sextilis, yang bererti “keenam” dalam bahasa Latin.

Malaysia menyambut kemerdekaannya pada bulan Ogos.  Secara lebih tepatnya lagi di Malaysia, 31 Ogos merupakan Hari Kebangsaan negara Malaysia. Jadi pada bulan ini juga ia disebut sebagai bulan kemerdekaan. Pada masa inilah kita akan melihat jalur gemilang dikibarkan. Pada bulan ini juga lagu-lagu patriotik akan berkumandang. Sajak-sajak tentang kemerdekaan akan dicetak semula, stesen televisyen akan mengulang tayang filem hebat tentang kemerdekaan. Hati Malaya 1957, Leftenan Adnan dan Bukit Kepong antara filem yang akan disiar semula untuk membangkitkan keghairahan bulan kemerdekaan.

Pada tahun ini, Malaysia akan menyambut sekali lagi bulan kemerdekaan ini. Pada tanggal ke 59 tahun ini adakah kita akan menyambutnya dengan penuh semangat patriotik atau menyambutnya hanya seperti biasa. Tidak dapat kita nafikan bahawa banyak faktor pada masa kini yang akan menentukan bagaimana sambutan tahunan kita pada tahun ini.

Bulan Ogos secara simboliknya menjadi bulan yang paling meriah dengan aktiviti berbentuk perpaduan. Pada masa ini kita berpeluang untuk melihat banyaknya program yang berteraskan perpaduan yang akan dijalankan untuk memperlihatkan keharmonian kaum di negara kita. Antara aktiviti yang meriah diadakan ialah sambutan perarakan kemerdekaan, kempen kibar jalur gemilang, sambutan malam ambang kemerdekaan dan pelbagai lagi. Sekolah-sekolah juga tidak kurang meriah untuk melancarkan bulan kemerdekaan di peringkat sekolah. Ketika inilah semangat patriotik dan perpaduan dapat dipenuhi di banyak tempat.

Ogos kali ini juga menjadi satu signifikan apabila kita secara rasminya menyambut pengisytiharan Kuching sebagai Bandaraya Perpaduan yang pertama di Malaysia dan hampir pasti boleh disebut sebagai yang pertama di dunia. 1 Ogos 2015 menjadi detik bersejarah buat Bandaraya Kuching apabila telah dipilih sebagai Bandaraya Perpaduan atas kriteria yang mencukupi dari pelbagai aspek. Perkara ini menjadi satu kebanggaan rakyat Malaysia dan kita akan terus meraikannya pada setiap tahun.

Ogos juga telah menyaksikan beberapa peristiwa bersejarah yang penting dalam Malaysia. Antaranya ialah

13.08.1960 :

Tunku Abdul Rahman diumumkan sebagai pemenang Hadiah Magsaysay daripada Filipina kerana kejayaannya memimpin masyarakat berbilang kaum di negara ini .

27.08.1965

Masjid Negara dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Putra Al-Haj Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail .

29.08.1970 :

Tun Abdul Razak Dato’ Hussein merasmikan Wisma Belia di Jalan Lornie, Kuala Lumpur .

15.08.1981 :

Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad (kini Tun) merasmikan Akademi Laut Malaysia di Tanjung Dahan, Kuala Sungai Baru Melaka .

07.04.1998 :

Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad merasmikan Masjid Bukit Aman sempena ulang tahun ke-191 penubuhan Polis Diraja Malaysia .

26.08.1999 :

Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan pertukaran nama Institut Teknologi Mara atau ITM kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM) .

20.08.2002 :

Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad merasmikan Tasik Putrajaya yang merupakan tasik buatan manusia .

04.08.2003 :

Kembara Merdeka Jalur Gemilang dilancarkan oleh Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi bertujuan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia .

25.08.2006 :

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam merasmikan Muzium Kastam Diraja Malaysia yang terletak di tepi sungai Melaka di Bandar Hilir .

Pada Ogos tahun ini, kita berpeluang sekali lagi untuk mencipta sejarahnya tersendiri. Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, keghairahan ahli politik menjatuhkan satu sama lain, isu rasuah antara sesama peniaga hinggalah kepada bola sepak, dan campur tangan asing dalam negara, kita tidak boleh jadikan semuanya alasan untuk kita berhenti bersemangat patriotik dan hidup dalam kebanggaan sebuah negara merdeka. Ambil langkah untuk hentikan segala konotasi negatif ini dan jadikan bulan kemerdekaan ini, sebuah bulan yang membuat kita semakin sayangkan negara dan kita berusaha untuk menjaga kebanggaannya. Jika pada masa ini, ada sesiapa yang tersilap langkah sebagai DAESH, berubahlah, jika ada sesiapa yang telah terlibat dalam rasuah maka bertaubatlah, jika sesiapa yang ada membuat salah, maka mengakulah. Lupakan segala kejahatan dan pembelotan terhadap negara sendiri. Demi kecintaan dan kemegahan seorang warganegara terhadap negara Malaysia maka berubahlah dan kembalikanlah semula kebanggaan negara ini.

Tanpa menafikan bahawa setiap bulan ada kehebatannya sendiri, kita tetap perlu berbangga bahawa bulan Ogos adalah bulan yang penuh lipatan sejarah. Bulan tentang mengingati tumpahnya darah, tertegaknya maruah dan berjasanya mak,ayah,atuk dan opah. Pada hari ini, kita seharusnya mensyukuri nikmat yang diperolehi dan menjaga keharmonian ini dengan seikhlas hati. Ia tidak berhenti disini, tapi ia perlu bermula disini dan kekal abadi. Bersama doa dan janji kita akan kembali menemui kebenaran dan harapan dalam semangat kemerdekaan. Semoga bulan Ogos kali ini akan menjadi bulan kemerdekaan yang meriah dan diingati oleh rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Image source: theposterific.wordpress.com

Recent Posts