Malaysia- Kemanusiaan Yang Sedang Mati.

Megah sebuah negara Malaysia yang rakyatnya berbilang kaum dicanang serata dunia sebagai harmoni dan sentosa. Malaysia bangga. Bangganya rakyat di sebuah negara yang dipisah Laut China Selatan diangkat, dinobat kerana perpaduannya adalah yang paling terkenal di asdasd dunia. Negaraku dilaung, semboyan, perarakan, perbarisan dan kemeriahan sambutan merdeka adalah kebanggan yang menunjukkan bahawa kita sudah merdeka sebagai Malaysia selama 59 tahun lamanya.

Negara yang ditanamkan nilai murni, dihembuskan toleransi dan hidup berbudi dalam masyarakat integriti pada hari ini adalah apa yang pernah kita miliki. Ya benar. Semuanya pernah kita miliki. Hari ini, Malaysia sudah tidak lagi boleh berbangga dengan nilai murni yang kita seharusnya ada. Hari ini, masyarakat bertamadun, kaya-raya, berjaya, sudah seakan hilang nilai murni sebagai manusia.

Pada zaman millennia, zaman berkereta jenama negara megah menyusur dijalan raya, rakyatnya hilang asas pembentukan tamadun yang paling mulia iaitu budi bahasa. Tingginya ilmu yang diperoleh, tingginya darjat dan murahnya rezeki yang diberkati dan diperolehi kepada generasi masa kini telah melahirkan manusia Malaysia yang tidak berbudi. Berkemeja kemas, berkasut tumit tinggi, daripada berkereta kancil hinggalah ke Audi, kita sudah berjaya daripada segi kehidupan dan kesenangan, tetapi daripada segi budi pekerti, kita semakin hilang jati diri.

Benarkah budi bahasa bukan lagi budaya yang kita boleh bangga? Sudah hilangkah nilai murni ini dalam negara pelbagai kaum ini? Kenyataan ini amat berat untuk kita terima pada hari ini. Mungkin tiada siapa yang sudi menyiarkan berita ini dimana-mana kerana ia hanya umpama tohmahan yang berbentuk negatif semata-mata. Tetapi, persoalan ini timbul tatkala melihat reaksi masyarakat negara kita yang tanpa segan silu melontar pelbagai kata nista, fitnah dan kata menghina atas pemergian orang ternama. Kematian seorang tokoh agama yang disegani Dr Haron Din seakan-akan dirai oleh mereka yang tidak menyukai latar belakang agamanya.

Dr Harun Din, seorang tokoh agama yang ilmunya penuh didada, berbakti kepada ribuan manusia tetapi kematiannya dikeji dan dibenci hanya kerana latar belakangnya tidak sama dan tidak disukai oleh mereka yang tidak sealiran dengannya. Pelbagai kejian dilemparkan malah ada yang lebih hina mempertikaikannya disemadikan di luar negara dengan memberikan gelaran tanah kafir tempat arwah dikebumikan. Tuhankah kita semua sehingga berkuasa memberikan gelaran kafir di tempat yang dicipta oleh pemilik sekalian alam?

Keadaan ini, turut dihadapi oleh seorang anggota Puteri UMNO yang kemalangan akibat kereta kenari yang dipandunya terbabas. Kematian ialah satu lambang keinsafan yang harus diambil sebagai pengajaran. Malangnya, mereka yang tidak sepakat dengan pimpinan barisan nasional, melemparkan tohmahan dan hinaan terhadap arwah yang masih belum merah tanah kuburnya. Budaya apakah ini? Adakah perbezaan parti menghalalkan kita untuk meraikan kehilangan nyawa seorang manusia yang ditimpa musibah dan tamat riwayat hidupnya secara kemalangan yang menyedihkan?

Kemanusiaan di Malaysia semakin mati. Kes ini bukanlah yang pertama kali berlaku di Malaysia. Kenyataan-kenyataan yang berbentuk penghinaan terhadap mereka yang meninggalkan dunia ini juga pernah berlaku terhadap Karpal Singh yang meninggal dunia kerana kemalangan yang menyayat hati pada suatu masa dahulu. Ketika itu, ramai yang dengan senang hatinya mengeluarkan kenyataan mahu melangkah mayatnya dahulu tanpa segan silu. Mana kemanusiaan? Mana budi bahasa? Mana nilai pekerti seorang manusia?

Ini adalah kesilapan-kesilapan besar kita dalam hidup sebagai rakyat yang sejahtera dan harmoni. Kita tidak sedar bahawa kita telah menjadi tuhan dalam kehidupan seharian. Kita rasa bahawa kita boleh buat apa sahaja dengan menggunakan hak dan kebebasan bersuara. Kita rasa bahawa dengan meraikan kematian orang yang kita tidak suka adalah pembalasan dendam yang biasa. Ini adalah silap kita sebagai manusia. Kematian adalah pengajaran kepada manusia. Kematian adalah usaha Tuhan untuk menunjukkan kepada kita, adakah kita rasa kita boleh hidup selama-lamanya?

Pada hari ini, kita seharusnya bermuhasabah diri, menilai apa yang berlaku kini. Jika kita tidak boleh bersikap simpati terhadap si mati, sedarlah bahawa kemanusiaan dalam diri kita sudah mati. Bersifat empatilah, kerana hari ini cacian dan kejian kita terhadap si mati yang kita benci, mungkin satu hari akan diterima oleh keluarga kita, atau diri kita sendiri apabila tibanya mati.

Artikel ini bukanlah untuk kita mengingati mati. Ini adalah usaha untuk menyelamatkan pertelingkahan kaum yang wujud kerana kematian tiga orang ternama di Malaysia. Berhentilah mencari kesalahan sesama kaum. Hapuskan sentimen “chauvinis”, “islamophobia” dan pengkafiran serta sifat menghukum dalam kalangan masyarakat. Hidupkan semula kemanusiaan yang sedang mati dengan cara hormat, menghormati, sayang menyayangi, empati dan berbudi bahasa sesama kita. Semoga Malaysia akan terus hidup dalam suasana aman dan harmoni dan kembali berbangga sebagai sebuah negara bangsa yang disegani dengan budi pekerti mulia.

Image source: owni.fr

Recent Posts