Bajet 2017 mesra rakyat pendapatan rendah

Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pelbagai peruntukan dan insentif yang diperkenalkan Perdana Menteri bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup rak­yat dalam mengharungi cabaran global wajar dipuji.

Katanya, penekanan ke atas keperluan asas seperti kesihatan, pendidikan, pemilikan rumah, pengangkutan awam dan sebagainya terutama kepada golongan berpendapatan rendah adalah langkah yang tepat.

Beliau berkata, peruntukan sebanyak RM12.8 bilion bagi Kementerian Dalam Negeri terma­suk RM8.7 bilion untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga dapat menyumbang kepada peningkatan tahap keselamatan rakyat selain menaikkan semangat bekerja dan kesejahteraan anggota polis.

“Namun, saya berpendapat peruntukan itu juga sewajarnya disa­lurkan kepada latihan untuk semua anggota polis tentang kaedah kepolisan moden bagi menghasilkan pengawasan dan pencegahan jenayah yang lebih efektif.

“Oleh itu, usaha Perdana Menteri menyediakan bajet yang seimbang dan pragmatik bagi mengharungi cabaran ekonomi dunia seharusnya diberi pengiktirafan terutamanya dalam mengekalkan kemampanan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Walau bagaimanapun, Lam Thye berkata, terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan oleh kerajaan untuk mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup terhadap golongan lain dalam masyarakat selain menjamin kuali­ti hidup rakyat dengan lebih baik.

Kenaikan kos sara hidup tidak sepadan dengan kenaikan gaji, katanya, memberi kesan mendalam terhadap golongan berpendapatan sederhana yang mengalami penurunan dalam gaji sebenar.

Image source: www.najibrazak.com

Recent Posts