4 Sudah Menjadi Satu.

Menghayati bait-bait lirik yang didendangkan oleh Noraniza Idris dalam lagu dikir puteri akan membawa kita kepada tradisi dikir barat yang sangat indah melodinya. Kaya dengan tradisi dan nasihat untuk bermuafakat dalam masyarakat lirik ini ditambah satu mesej yang padat iaitu pada rangkap berikut : –

Satu rumpun hai satulah kata,
Dua hati berpadulah jiwa,
Tiga temu setia memangku,
Empat pula sudah bersimpul satu.

Apabila kita hayati bait-bait lirik ini, secara siginifikannya ia boleh kita kaitkan dengan sejarah dan juga dijadikan iktibar pada apa yang berlaku pada hari ini.

Untuk pergi kepada sejarah, kita perlu kembali ke tarikh 1 Mac 1946 ketika satu himpunan besar-besaran yang dikenali sebagai Kongres Melayu Se-Malaya pertama telah diatur oleh Persatuan Melayu Selangor di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Bharu, Kuala Lumpur. Ketika ini, satu rumpun bangsa Melayu telah bersatu kata untuk membentuk sebuah persatuan yang berfungsi membantah Malayan Union dan menyelamatkan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajah. Pada masa inilah satu rumpun mencapai satu kata sepakat untuk membentuk UMNO yang kita kenali sehingga sekarang.

Selepas penubuhan ini, dua pihak, iaitu Melayu dan Inggeris yang disertai Sidang Pleno, mengadakan pertemuan yang disifatkan sebagai pertemuan dua hati yang berpadu untuk membincangkan tentang kewujudan Perjanjian Persekutuan pada Jun hingga Disember 1946. Pada akhir pertemuan dua hati antara Melayu dan Inggeris ini, Sidang Pleno telah menghasilkan apa yang dikenali sebagai Blue Book setebal 100 halaman. Pertemuan dua pihak inilah yang akhirnya telah membawa kepada terbentuknya perjanjian persekutuan Tanah Melayu yang ditandatangani wakil Raja-raja Melayu dan Sir Edward Gent pada 21 Januari 1948 yang berlangsung di King House. Perjanjian ini penting terhadap terbentuknya persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948. Hasilnya, Malayan Union berjaya dimansuhkan dan negeri-negeri Melayu bersatu untuk membentuk sebuah persekutuan hasil daripada pertemuan dua pihak.

Menelusuri beberapa tahun selepas itu, kita lihat bagaimana tiga kaum bertemu dan setia untuk memangku satu sama lain membentuk gerakan untuk memperjuangkan kemerdekaan sebuah negara bangsa yang berdaulat. Melayu, Cina dan India ketika itu bertemu membentuk perbincangan untuk membawa satu rombongan meminta Malaysia dimerdekakan. Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng-Lock, dan Tun V.T Sambanthan adalah tiga nama yang mewakili tiga kaum berbeza yang membawa amanat seluruh tiga kaum Malaysia untuk sama-sama bebas daripada cengkaman penjajah dan membentuk sebuah negara yang merdeka. Usaha murni tokoh kemerdekaan ini membawa kita kepada nikmat kemerdekaan yang telah kita nikmati sehingga ke hari ini hasil daripada pertemuan 3 kaum yang sedia untuk memangku satu sama lain.

Kemudiannya pada 1963, satu usaha membentuk sebuah negara berdaulat yang diberi nama Malaysia digerakkan melalui usaha meyatukan 4 kawasan di sekitar Tanah Melayu iaitu Tanah Melayu (Semenanjung), Singapura, Sabah dan Sarawak melalui usaha yang digerakkan oleh Tunku Abdul Rahman. Tunku Abdul Rahman, mula-mulanya menyuarakan pandangannya tentang 4 wilayah ini di Singapura pada 27 Mei 1961, kemudian melawat Sabah dan Sarawak untuk menyatakan hasrat untuk bergabung membentuk sebuah negara bangsa bernama Malaysia. Penubuhan Jawatankuasa Perunding Perpaduan Kaum (JPPK) kemudiannya ditubuhkan di Singapura pada Julai 1961 yang diketuai oleh Donald Stephens dari Sabah bertujuan untuk membanci penerimaan penduduk terhadap gagasan pembentukan Malaysia. Kemudiannya Suruhanjaya Cobbold dibentuk, dan usaha menyimpulkan 4 S ini (Semenanjung, Singapura, Sarawak dan Sabah) menerima tentangan daripada Filipina dan Indonesia. Tetapi kerana kuatnya muafakat dan kesefahaman yang telah disemai kepada semua warga ini, akhirnya, realiti telah membawa kita kepada terbentuknya negara bangsa berdaulat bernama Malaysia. Ia adalah manifestasi 4 S yang telah bersimpul untuk menjadi satu.

Sejak itu, Malaysia mula terkenal sebagai sebuah negara unik yang terdiri daripada pelbagai kaum hasil daripada gabungan ini. Pada masa ini, semua negara telah bersetuju bahawasanya Malaysia merupakan negara, dan setiap negeri adalah sebahagian daripada Malaysia termasuklah Sabah dan Sarawak. Ini hasil pemindaan perlembagaan yang menjadikan semua negeri sama rata dan bukanlah seperti yang pada mula-mula Malaysia ditubuhkan.

Pada 1976 ketika perlembagaan dipinda Sabah dan Sarawak telah diberikan kelebihan daripada segi autonomi. Autonomi yang dinikmati oleh Sabah dan Sarawak dalam pindaan Perlembagaan 1976 telah menyamakan semua negeri di Malaysia. Perlembagaan yang sama jugalah telah digunakan untuk mengiktirafkan kedudukan istimewa Sabah dan Sarawak.

Keadaan ini dipersetujui semua sehinggalah kini apabila terdapat usaha untuk membawa semula status sebuah negeri setaraf dengan sebuah negara. Usaha ini seakan-akan satu cubaan menangguk di air keruh. Kehilangan Singapura pada 1965 sebenarnya satu mesej tentang perpaduan yang tidak berjaya. Justeru, pada dasawarsa ini, keputusan Sarawak untuk meminta status yang sama seolah-olah cuba mengulang tragedi tersebut.

Jika kita nilai tindakan Ketua Menteri Sarawak pada hari ini, ia berpunca daripada sikap ketidakadilan kita sendiri yang seakan-akan memisahkan panggang dari api. Kita jauhkan tebing dengan aur, kita keluarkan isi dari kuku. Sedangkan Sarawak adalah negeri terbesar di Malaysia tetapi sentimen Sarawak for Sarawakians tidak pernah kita ambil peduli apa puncanya kejadian sebegini berlaku. Kita seharusnya membuat pengagihan yang adil antara seluruh negeri di Malaysia. Ketidakadilan akan membuatkan munculnya ketidakpuasan hati seperti apa yang berlaku di Sarawak pada hari ini.

Selain itu, Sarawak juga tidak perlu untuk mengambil pendekatan yang terlalu drastik seperti yang dicadangkan oleh pihak-pihak tertentu. Perbincangan secara dua hala antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri merupakan satu bentuk pendekatan yang positif untuk diambil berbanding tindakan yang memberi ancaman kepada perpecahan negeri yang pertama mempunyai Bandaraya  Perpaduan ini. Mungkin tindakan ini dianggap sesuatu yang populis.  Walau bagaimanapun, tindakan provokatif ini harus ada sifat berhati-hati. Pada bila-bila masa sahaja, akan ada pihak yang cuba menangguk di air keruh, memanipulasi tindakan yang diambil ini. Sebagai contoh, selepas kenyataan ini dikeluarkan oleh beberapa individu serta kumpulan, terdapat pihak yang telah mencanangkan bahawa Sarawak mahu keluar dari Malaysia. Ini sama sekali kenyataan yang tiada asas. Tetapi kenyataan yang dimanipulasi menjadikan berita ini tersebar dalam rakyat walaupun ia berbentuk fitnah.

Sehubungan dengan itu, Yang Berbahagia Ketua Menteri Sarawak juga diharap bersikap sederhana dan seimbang dalam usahanya memperjuangkan hak Sarawak dalam Malaysia.  Kita telah bersimpul menjadi satu, dan sama-sama berjanji untuk mendaulatkan negara kita negara Malaysia. Untuk menyelesaikan masalah ini, keadilan dalam setiap perkara melibatkan semua negeri harus dimainkan oleh kerajaan dan semua pihak. Kita semua seharusnya bersifat berkongsi semua bersama-sama meski jarak memisahkan kita. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah, gunung sama didaki, lurah sama dituruni. Semoga apa yang kita ada hari ini, akan kekal bersatu seperti mana pesan orang dulu-dulu dalam lagu.

Empat belas melintang jalurnya,
Semua negeri dalam Malaysia,
Satu suara satu semangat,
Itu sumpah warga berdaulat.

Image source: www.seacitymaps.com

Recent Posts