Penganiayaan saudara sendiri. Makna sebenar solidariti

Syria dibom, Rohingya dibakar hidup-hidup. Maka seluruh rakyat, daripada pucuk pimpinan sehinggalah golongan marhaen, menzahirkan keprihatinan mereka sebagai saudara seIslam yang bersahabat di dunia, bersaudara di syurga. Paris meledak, tembakan rambang dilepaskan di bar, semua negara menunjukkan keprihatinan mereka dengan mengutus doa dan mengecam pelaku. Tolak keganasan dan sebagainya dengan menggunakan alasan kemanusiaan. Ketika Harambe, (seekor gorilla yang terpaksa ditembak mati kerana ada budak terjatuh ke sangkarnya) dibunuh, keprihatinan dunia seolah-olah menunjukkan bahawa kemanusiaan itu masih segar dibumi pelbagai bangsa ini.

Tetapi sangkaan itu meleset apabila tragedi yang terjadi di Kelantan yang melibatkan kaum Orang Asli diceroboh haknya sebagai seorang warganegara dan sebagai seorang manusia. Kisah yang diceritakan mungkin tidak jelas kerana dikaburi media dan pemanipulasi cerita. Tetapi secara ringkasnya, kita tidak langsung kisah tentang apa yang terjadi terhadap mereka yang sebahagian daripada kita, rakyat Malaysia.

Kisah yang terjadi di Kelantan ini bukannya kisah baharu yang wujud dua tiga hari yang lalu. Kisah balak ini adalah kisah bertahun-tahun. Saban tahun, kawasan balak yang dicerobohi ini kini telah sampai terlalu ke pendalaman sehingga menceroboh tempat tinggal Orang Asli. Mereka terlebih dahulu berada di situ berbanding penceroboh-penceroboh yang berlesen ini datang untuk mengambil hasil bumi. Sayangnya, kerajaan negeri  berpendapat Orang Asli  telah menceroboh rizab yang telah diisytiharkan sebagai hak milik kerajaan negeri.

Tanpa mengetahui bahawa Orang Asli lebih lama mendiami kawasan yang dicerobohi, kerajaan negeri  terus dengan gagah berani mengisytihar bahawa merekalah yang memiliki setiap sudut hutan dan sumber rezeki di tanah tersebut. Justeru, mereka bukanlah menceroboh kediaman Orang Asli sebaliknya mereka mengambil hak mereka. Ya, hak mereka yang sebenarnya bukan hak mereka!

Kisah tragis ini tidak diberi liputan meluas, seluas saudara seIslam di Rakhine. Kisah tentang Orang Asli ini dikaburi oleh media PAS dengan menyalahkan Orang Asli yang membuat sekatan terhadap aktiviti pembalakan. Orang Asli daripada negeri lain bersolidariti mempertahankan hutan yang didiami oleh keluarga dan sahabat mereka. Orang Asli daripada negeri Perak dan Pahang membuat benteng menggunakan diri mereka sendiri. Sambil berdiri menghalang pembalak yang rakus mereka menyanyikan lagu Negaraku lagu kebangsaan kita. Lagu kebangsaan mereka. Tetapi malangnya, sebagai akibat, mereka ditahan dan dipenjarakan. Ia sangat menyedihkan melihat apa yang berlaku di tempat yang paling mereka sayangi akhirnya diceroboh kerana hasil hutannya terlalu berharga kepada kerajaan negeri.

Tindakan harus diambil terhadap mereka ini. Solidariti kita sebagai warganegara Malaysia yang cintakan keamanan seharusnya dijadikan penguat semangat kepada mangsa yang tertindas di bumi serambi Mekah.

Kepada Kerajaan Negeri Kelantan : –

Ingatlah bahawa kamu pernah berkata kepada semua penduduk negara ini tentang peringatan-peringatan yang dibacakan sebagai mendapatkan undian supaya kamu boleh memerintah sebuah negeri yang kaya dengan hasil tanah. Maka hari ini, izinkan kami memberi peringatan tentang beberapa perkara sekadar mengingatkan kembali beberapa asas Islam yang mungkin telah kamu lupakan kerana persekitaran yang mendesak dan mempengaruhi kamu.

Beringatlah semula para pemimpin yang amanah bahawa kamu pernah mengingatkan tentang peranan manusia sebagai khalifah di bumi yang dimiliki al Khaliq ini. Khalifah yang kamu perkatakan itu tugasnya bukanlah sekadar memerintah, menyampaikan  amanah dan berbalah semata-mata. Khalifah yang diharapkan juga bukanlah untuk memenuhi tuntutan manusia semata-mata bahkan untuk alam sejagat yang dicipta untuk memberi kamu nilai tambah dalam kehidupan.

Ingatlah ketika kamu berbicara tentang nasib saudara yang ditindas, yang hak mereka dirampas kamu menyuruh kami bersifat empati, meletakkan diri kami pada situasi yang terjadi. Kami sedar dan bermuhasabah diri. Tetapi pada hari ini wahai pembalak kapitalis dan kerajaan negeri, sedarlah bahawa seorang Islam perlu ada nilai ihsan dalam diri. Sedarlah bahawa Allah melihat apa yang kamu lakukan pada hari ini. Allah mengetahui apa yang ada di dalam hati. Maka segeralah kamu juga bermuhasabah diri, kembali menjadi Islam yang benar-benar jati.

Mungkin tiada qunut nazilah yang akan dibacakan sepertimana untuk saudara-saudara seIslam kita di Rohingya. Tetapi sebagaimana Allah memperkenankan doa-doa umat Islam terhadap Israel yang menyaksikan kebakaran terbuka di Israel, semoga akan ada balasan yang setimpal dirasai oleh mereka yang menyalahgunakan kesucian agama dan bersifat kejam atas nama kapitalis.

Allah adalah Tuhan bagi orang Islam. Tetapi mereka yang melakukan kekejaman ini, Tuhan kamu bukan Allah, tetapi kapitalisme. Mereka melihat penebangan pokok sebagai pembalakan, Orang Asli  melihat pokok-pokok sebagai rumah pelbagai kehidupan. Orang Asli  penjaga ekosistem alam zaman berzaman. Tidak ada pencemaran tanpa pembalakan. Alam rosak kerana mereka yang berkuasa menceroboh kerana ingin lebih kaya. Ayuhlah kita cakna demi Orang Asli Kepada Orang Asli, mungkin ini tidak akan sampai kepada kamu. Tetapi harapan kami, semoga segala penindasan ini dapat kita hentikan. Semoga takbir yang lebih ikhlas akan mentadbir dengan lebih belas.

Solidariti dengan Orang Asli.

Image source: themalaymailonline.com

Recent Posts