Rukunegara Panduan Pupuk Perpaduan Kaum

Tahun baru memberi resolusi baru, harapan baru dan aspirasi baru namun jelas setiap orang mempunyai resolusi yang berbeza.

Bagi Yayasan 1Malaysia, membina dan mengekalkan asas perpaduan yang kukuh merupakan satu cabaran dan azam baru yang perlu diteruskan demi masa depan negara.

Hidup berbilang kaum dalam masyarakat adalah sebahagian daripada sejarah dan warisan kita. Ia telah menjadi sumber penting dalam integrasi kaum selama ini dan sudah pasti memainkan peranan dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang harmoni untuk hidup, belajar, bekerja dan bermain.

Perpaduan adalah sebuah hadiah yang tidak ternilai dan perlu dipelihara serta dihargai oleh semua rakyat Malaysia.

Melihat kepada senario di negara kita hari ini khususnya di Semenanjung Malaysia, polarisasi kaum dan agama masih wujud walaupun kita telah mencapai lima dekad kemerdekaan.

Perpaduan nasional dan kesepaduan sosial terletak pada keupayaan institusi pendidikan dan para guru dalam menyatukan generasi muda berbilang kaum dalam memupuk dan menerapkan prinsip Rukunegara dalam kehidupan mereka.

Rukunegara yang telah diwujudkan pada tahun 1970 bertujuan untuk mencapai satu pegangan atau pengertian asas terhadap aspirasi nasional di antara pelbagai kaum di Malaysia tanpa mengira asal usul dan keturunan masing-masing.

Konsep yang terdapat di dalam ideologi negara ini harus difahami dan dihayati bagi memupuk semangat perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Lima matlamat dan lima prinsip Rukunegara –

Matlamat Rukunegara:

  1. Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya;
  2. Memelihara cara hidup demokratik;
  3. Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama;
  4. Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai corak;
  5. Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden

Prinsip Rukunegara:

Kepercayaan kepada Tuhan

Kesetiaan kepada Raja dan Negara

Keluhuran Perlembagaan

Kedaulatan Undang-Undang

Kesopanan dan Kesusilaan

 

Sebenarnya adalah satu falsafah dan ideologi negara yang menjadi dasar kesatuan dan perpaduan bangsa serta pedoman kepada kehidupan semua masyarakat pelbagai kaum dan budaya di negara ini.

Setiap matlamat dan prinsip Rukunegara yang dilafazkan di setiap perhimpunan sekolah, majlis-majlis dan program-program rasmi tertentu sebenarnya mempunyai maksud tersirat yang harus difahami dan dipraktikkan oleh setiap masyarakat di Malaysia.

Penghayatan terhadap Rukunegara dilihat semakin berkurangan terutamanya dalam kalangan generasi muda dan ini amat membimbangkan.

Ramai rakyat yang tidak lagi melihat kepentingan Rukunegara pada masa ini. Di dalam keadaan kita menuju kemajuan, ianya dilupakan sebagai salah satu alat penting yang membantu rakyat Malaysia bersatu padu suatu ketika dahulu. Ia sepatutnya bukan setakat dibaca atau dihafal sahaja tetapi juga diamalkan di dalam kehidupan seharian kita.

Keperluan untuk memupuk perpaduan dalam kalangan generasi muda dan meningkatkan pemahaman mereka terhadap matlamat dan prinsip Rukunegara amatlah bermakna jika kita ingin menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersatu-padu.

Sebagai contohnya, di dalam prinsip kelima Rukunegara – Kesopanan dan Kesusilaan yang menekankan personaliti dan tingkah laku seseorang. Sifat individu yang bersopan santun dan bersusila adalah amat penting dalam konteks perhubungan antara satu sama lain dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Penghayatan dan mempraktikkan prinsip ini akan membentuk warga negara yang bersopan santun dan bersusila serta menjadi panduan kepada semua rakyat agar perilaku masyarakat sentiasa terpelihara.

Rukunegara adalah prinsip panduan kita terhadap proses pembangunan negara dan hendaklah dihormati oleh semua pihak. Ia merupakan satu wawasan yang dikongsi demi untuk perpaduan negara.

Matlamat-matlamat dan prinsip-prinsip yang terkandung didalamnya hendaklah didukung dan dipraktikkan kerana kita tidak boleh memandang ringan terhadap kestabilan, keamanan dan keharmonian yang telah dicapai setakat ini.

Marilah kita bersama-sama berharap agar pada tahun baru 2017 ini semua rakyat Malaysia tanpa mengira asal usul dan keturunan mempunyai iltizam untuk menjadikan lima matlamat dan lima prinsip Rukunegara sebagai satu panduan hidup mereka bagi mencapai wawasan negara.

 

Recent Posts