Terap perpaduan, galak anak bergaul pelbagai kaum

 

Kemajuan dan pembangunan negara terletak pada keupayaan guru dalam menyatukan generasi muda dengan menggalakkan mereka memupuk dan menerapkan prinsip Rukun Negara dalam kehidupan mereka. Harus ditekankan bahawa Kementerian Pendidikan memainkan peranan penting dari segi perpaduan.

Tugas dalam mengharungi cabaran ini perlu dipikul oleh guru yang menjadi ejen atau teladan demi integrasi antara kaum dan perpaduan negara. Keperluan untuk memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar dan meningkatkan semangat patriotik mereka berdasarkan prinsip Rukun Negara amatlah penting jika kita ingin lihat dan jadikan Malaysia negara yang bersatu padu.

Selain guru, ibu bapa juga memainkan peranan penting menggalakkan anak mereka bergaul dengan kaum lain dan mempunyai rakan daripada pelbagai kaum selaras dengan 1Malaysia.

Walaupun kerajaan memainkan peranan utama ke arah memupuk integrasi kaum dan mencapai perpaduan, pembabitan ibu bapa adalah perlu untuk mendidik anak mereka mengenai perpaduan. Fikiran mereka tidak dicemari isu perkauman. Pada mereka, semua orang adalah sama.

Pentingnya keharmonian kaum, agama

Ibu bapa sendiri dibesarkan dalam persekitaran berbilang kaum dan bergaul dengan rakan-rakan pelbagai kaum harus menggalakkan anak mereka bergaul dengan kaum lain supaya mereka sedar betapa pentingnya keharmonian kaum dan agama.

Kanak-kanak dan generasi muda daripada pelbagai kaum harus diajar menghormati antara satu sama lain selaras dengan semangat 1Malaysia.

Perpaduan harus menjadi satu prinsip panduan untuk semua sekolah dalam aktiviti kokurikulum, terutama aktiviti sukan bagi memupuk persefahaman antara kaum.

Bina Malaysia bersatu

Program perlu diperkenalkan dan dimulakan untuk membawa pelajar dari sekolah berbeza iaitu sekolah kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil bagi membolehkan mereka berinteraksi dan bergaul demi kepentingan pembangunan negara.

Pelajar hari ini adalah pemimpin masa depan. Mereka harus pikul tanggungjawab membina Malaysia yang bersatu dengan matlamat yang sama.

Perpaduan dan keharmonian mesti diterapkan dalam budaya kita dan lebihkan peluang kepada kanak-kanak dan generasi muda dari pelbagai kaum untuk berinteraksi dan menjalin persahabatan serta persefahaman demi masa depan negara kita.

Image source: bharian.com.my

Recent Posts