Kita sedang berada di waktu yang sukar

5 hari di bandaraya perpaduan seakan memberi satu harapan baru tentang keindahan perpaduan yang dimiliki oleh negara pelbagai etnik ini. Jauh dari kesesakan dan rasa sibuk yang teramat sangat membuat diri ini berasa bahawa kita sebenarnya bertuah tinggal di dalam komuniti majmuk yang sentiasa makmur ini. Namun apabila kembali ke Semenanjung Malaysia, seakan banyak cerita kurang enak yang sampai di telinga. Seolah tidak percaya, tetapi realiti perpaduan di negara kita rupanya sedang ditiup api-api perkauman yang seakan cuba membakar perpaduan.

Satu demi satu perkara yang melibatkan sensitiviti sedang cuba dimainkan. Kebanyakannya adalah berkenaan dengan institusi agama. Baik yang melibatkan agama Islam, agama Buddha, agama Hindu, mahupun mereka yang bersifat liberal, masing-masing dengan beraninya membuat kenyataan-kenyataan yang memperlihatkan perbezaan pendapat dengan cara yang kurang sihat. Terdapat beberapa isu yang melibatkan agama yang mampu mendatangkan perasaan tidak senang antara beberapa kaum pelbagai agama di Malaysia.

Pertamanya ialah isu RUU 355 yang sangat hangat untuk dijadikan suatu pemecah belah kaum. Rata-rata kita sedar akan usaha Yang Berbahagia Marang untuk memperkasakan undang-undang syariah di Malaysia. Rang undang-undang yang mempunyai niat suci untuk menegakkan syiar Islam di Malaysia merupakan sebuah inisiatif yang harus dipuji sekiranya niat asal ialah untuk menegakkan syiar Islam dan mengikut sunnah yang benar-benar dirasakan perlu.

Walau bagaimanapun, melihat kepada beberapa perkara atau kesan negatif yang telah dan bakal berlaku daripada penggubalan rang undang-undang ini, seharusnya, ada beberapa perkara harus diambil peduli. Melihat kesan RUU355 terhadap perpaduan di Malaysia terdapat 2 kesan yang akan mengakibatkan masalah perpaduan di negara multi etnik ini.

Kesan yang pertama ialah perpecahan dalam kalangan masyarakat Melayu muslim sendiri. Orang Islam sendiri akan terbahagi kepada dua kelompok pecahan yang berbeza pendapat tentang agama yang suci ini. Kita boleh bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa ini adalah sebahagian daripada undang-undang Islam, PAS juga harus mengakui bahawa ia bukanlah sesuatu yang harus di dalam Islam. Sebahagian muslim di Malaysia percaya RUU355 ada kebaikannya, tetapi sebahagian besar muslim percaya bahawa RUU355 bukanlah bersifat untuk memperkasakan Islam semata-mata. Ada agenda politik yang turut menyertai pembentangan ini. Sebagai contoh, kita telah melihat sudah ada pemimpin politik yang mengatakan bahawa amalan mukmin menjadi sia-sia sekiranya mukmin tidak menyokong usul yang dibawakan oleh YB Marang. Hakikatnya ramai muslim yang masih waras akalnya yang masih percaya bahawa Islam bukanlah agama denda dan hukum semata-mata. Islam ialah agama yang aman, membawa kepada keharmonian dan juga bersifat tidak menyakiti. Justeru, di sini sahaja telah terlihat dua perpecahan daripada satu kaum.

Bagi sebahagian Muslim, terdapat beberapa perkara yang jauh lebih penting dalam pelaksanaan syariah yang terus diabaikan. Antaranya termasuklah kedudukan wanita, khususnya mangsa perceraian. Nasib mereka inilah yang seharusnya dibela sebelum memperketatkan hukum-hukum tentang kepenjaraan, denda atau sebat.

Keduanya, kita dapat melihat bagaimana perbezaan pendapat antara kaum lain yang diperlihatkan oleh pemimpin parti politik. Lihat sahaja reaksi yang berbeza mereka ketika pembentangan oleh Yang Berbahagia Marang. Perbezaan ini, akan membawa kepada perpecahan daripada pengikut pemimpin parti yang berasaskan kaum misalnya MCA, DAP, dan MIC. Walaupun RUU355 tidak memberi kesan kepada mereka yang muslim daripada segi hukumannya, ia tetap mewujudkan perbezaan khasnya daripada segi pelaksanaannya. Bagi bukan Muslim, walaupun mereka tidak terkesan secara hukuman.

tetapi mereka bimbang tentang RUU 355. Ini kerana ia mewujudkan dua sistem hukum jenayah yang berbeza iaitu satu untuk Muslim dan satu lagi untuk bukan Muslim walaupun pesalah terlibat dalam jenayah yang sama Perbezaan ini akan mengakibatkan rasa ketidakadilan antara muslim dan bukan muslim. Ini seterusnya mewujudkan ketidakpuashatian dalam kalangan masyarakat multietnik yang sering ditiupkan roh 1 Malaysia tetapi masih mempunyai perbezaan yang ketara dalam pelaksanaan perundangan.

Benar RUU355 ada kebaikannya yang tersendiri tetapi ia bukanlah keperluan pada masa kini di Malaysia. Lagi pun, keagungan tamadun Islam dalam zaman kegemilangannya bukan kerana kaedah hukuman jenayahnya. Dua sifat utama tamadun Islam yang membawanya kepada mercu kejayaan adalah komitmennya kepada keadilan dan kegigihan sarjana-sarjana dan khalifah-khalifah Islam tertentu mengejar ilmu.

Seterusnya, isu yang membuatkan dua kaum tidak senang duduk ialah apabila terdapat satu cadangan untuk meminta setiap perniagaan diberhentikan ketika azan dilaungkan. Usaha yang dicadangkan ini ialah sesuatu yang sangat-sangat mulia di sisi agama khususnya agama Islam. Ini akan memperlihatkan betapa Islam merupakan agama yang sangat mementingkan spiritualnya berbanding hal-hal duniawi. Walau bagaimanapun, dalam negara multi etnik ini, keputusan ini dilihat seolah-olah seperti memaksa yang lain untuk turut sama dalam satu upacara agama. Jika tidak diperjelaskan secara tepat kemungkinan untuk wujud ketidakpuasan hati sesama kaum. Benar, bahawa kita harus menegakkan syiar Islam di negara majoriti Islam ini. Tetapi islam tidak dibina dengan rasa benci daripada agama lain. Islam dibina melalui akhlak yang elok dan budi pekerti yang mulia. Justeru, cadangan ini, tidak salah untuk dilaksanakan, tetapi pelaksanaannya haruslah memberi impak yang paling positif kepada semua pihak.

Akhir sekali isu yang paling mutakhir ialah tentang isu Dr Zakir Naik yang semakin hangat diperkatakan ketika ini. Ekstremis agama dilihat terlalu menjadikan isu ini seakan-akan isu paling penting di Malaysia ketika ini. Isu Dr Zakir Naik yang diberi taraf Penduduk Tetap (PR) di Malaysia mewujudkan ketidakpuasan hati khususnya dalam kalangan mereka yang sudah lama berada di negara ini dan belum mendapat kerakyatan yang dipohon. Selain itu, terdapat juga mereka yang mempertikaikan tentang nasib segelintir rakyat Malaysia yang masih belum mendapat hak dan taraf kewarganegaraan khususnya yang berada di kawasan perkampungan yang jauh dari urbanisasi. Begitu juga warga estet yang belum mendaftar sejak lahir. Kesan ini menjadikan isu Dr Zakir Naik menjadi isu kaum dalam kalangan rakyat Malaysia. Tindakan seorang mufti memuat naik sebuah puisi bersifat memerli dilihat juga sebagai menyimbah minyak di api yang marak. Kesannya Hindu Rights Action Front (Hindraf) membuat satu himpunan mendesak permohonan maaf dan meminta Dr Zakir Naik dihantar balik. Kisah ini, semakin menjadi meruncingkan apabila Perkasa menyatakan ketegasan mereka untuk mempertahankan Dr Zakir Naik dalam isu ini. Mendepani isu ini, suatu persoalan yang timbul, adakah perpaduan wajar diperjudikan hanya kerana seorang yang bukan warganegara?

Melihat kepada segala permasalahan yang berlaku pada hari ini, kita sebenarnya sedang berada di waktu yang sukar. Kita semakin hilang rasa bertolak ansur dan kita semakin hilang rasa hormat terhadap agama. Kita terlalu ingin melihat bahawa agama kitalah yang paling perlu dihormati sehingga kita terlupa bahawa kita dibina atas satu semangat toleransi. Malaysia dibina dengan rasa hormat dan sikap menerima tanpa menyakiti hak orang lain. Pada masa kini, kita telah bersifat terlalu pentingkan diri terhadap kaum, bangsa dan agama sendiri. Keinginan untuk menjadi yang paling istimewa dan yang paling dihormati menjadikan kita secara tanpa sedar telah mengusik sensitiviti yang lain.

Sudah tiba masa untuk kita kembali berpegang kepada roh 1Malaysia. Ketahuilah bahawa kita sedang berada di waktu yang sukar. Kebencian sedang ditiup dan anginnya semakin kencang. Kita harus menjadi dinding yang menghalang mara angin kencang yang menggoyahkan semangat persaudaraan sesama kita. Kita adalah harapan yang akan memastikan bahawa negara ini, akan terus berdiri tegap sebagai sebuah negara yang dibina atas asas perpaduan dan keharmonian yang kukuh. Ini bukanlah satu permintaan untuk mengurangkan semangat keagamaan. Ini adalah pesan untuk kita semua kembali berpegang teguh kepada sikap persaudaraan yang perlu dalam masyarakat berbilang agama. Semoga kita akan berjaya.

Recent Posts