Kejujuran kita dalam mengenali Malaysia

Mulakan bacaan ini, dengan menyebutkan semua ibu negeri dalam Malaysia. Kemudian, sebutkan semua darul untuk setiap negeri. Jika salah, teruskan bacaan sehingga habis. Jika betul, jangan terlalu berbangga, kerana ia hanya sebahagian kecil daripada apa yang negara kita ada.

Inisiatif yang digerakkan oleh kerajaan diberi nama #Negaraku merupakan sebuah inisiatif yang sangat bagus terhadap mempromosikan semangat cintakan negara Malaysia ini. Tetapi, suatu yang menjadi persoalan ialah, adakah kita benar-benar mengenali negara ini? Kenalkah kita akan sebuah negara yang multietnik, pelbagai kaum, 13 negeri, dan 3 wilayah persekutuan? Tahukah kita akan nombor di tengah kad pengenalan untuk setiap mereka daripada negeri berbeza? Tahukah kita semua tentang simbol-simbol penting negara? Jata negara, warna bendera, bunga kebangsaan, negeri terbesar, sungai terpanjang, dan pelbagai lagi keunikan di negara ini? Belum lagi kita berbicara tentang Rukun Negara, yakni matlamat dan prinsipnya. Celikkah kita tentang sejarah negara? Sejak sebelum terbentuknya Malaysia hinggalah 60 tahun merdeka. Seperti mana dalam Lirik Negaraku yang diberi nafas baru, tentang “awang hitam kaji awan putih bila belayar” dimana hampir seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira generasi tidak tahu akan maknanya. Belum lagi bercerita tentang perlembagaan dan hak-hak yang dimiliki oleh setiap warganegaranya. Jika sekarang kita ditanya dengan soalan sebegini, percayalah, kebanyakkan kita akan gagal.

Tetapi apa yang kita akan lakukan apabila kita tidak mengetahui tentang perkara ini? Kita kononnya malu apabila negara luar, mentertawakan kita tentang 1MDB, negara luar bercerita tentang perdana menteri kita, tetapi kita sendiri, gagal mempopularkan keunikan negara kita di mata dunia. Dalam kesungguhan Kementerian Pelancongan menguar-uarkan keunikan negara ini ke mata luar, kita sendiri masih gagal untuk menjadi duta negara sendiri, baik yang berada di dalam apatah lagi di luar negara. Banyak rungutan daripada mereka di luar negara yang kononnya malu dengan skandal 1MDB yang melanda negara, tetapi tiada pun yang hendak mengambil inisiatif mempromosikan berjuta keunikan dan keistimewaan yang dimiliki negeri pelbagai bangsa, negara yang berkongsi budaya.

Kita bukan sekadar terkenal kerana rasuah dan kisah skandal, kita terkenal kerana negara yang kita duduk ini didiami oleh pelbagai bangsa yang jelas berbeza dan unik. Kita terkenal kerana kita ada masyarakat yang bertoleransi lahir daripada pelbagai agama. Kita terkenal kerana terdapat banyak tempat menarik. Kita terkenal kerana terdapat flora dan fauna yang mengujakan. Kita terkenal kerana makanan tradisi daripada pelbagai kaum di negara ini sangat menyelerakan. Dalam banyak-banyak kebudayaan yang kita miliki, percayalah bahawa masih terlalu ramai masyarakat dalam negara ini yang tidak kenal pun akan guru Nanak? Malulah sekiranya saat membaca artikel ini, anda juga merupakan salah seorang yang tidak tahu siapa itu Guru Nanak, dan siapakah Konfucius ?

Itulah sifat sebilangan besar rakyat Malaysia. Kita lebih mengetahui tentang negativiti dan perkara-perkara yang bersifat buruk. Kita sedar bahawa terdapat sisi negatif yang sedang berlaku dalam negara, tetapi kita tidak sedar bahawa kita sendiri tidak bersedia untuk membawa nama baik negara kita ke tahap yang lebih tinggi. Bercerita tentang perkara ini, dimana silapnya kita? Adakah sistem pembelajaran kita tidak menyentuh secara menyeluruh tentang perkara ini? Secara dasarnya, kita mempunyai silibus-silibus tentang kenegaraan, tetapi sistem pendidikan kita yang lebih berorientasikan peperiksaan tentang ilmu-ilmu yang lebih penting seperti sains dan matematik telah menjadikan ilmu tentang kenegaraan sebagai sesuatu yang hanya perlu tahu dan tidaklah sepenting ilmu yang perlu lulus. Ketidaksudian kita untuk menerapkan tentang ciri-ciri kenegaraan menjadikan kita terpaksa berdepan dengan masalah ketidakpedulian kita terhadap Malaysia. Sakit untuk diterima tetapi inilah kenyataan yang harus kita benarkan.

Keduanya, sikap masyarakat Malaysia sendiri yang melahirkan masyarakat yang tidak peka dengan jati diri sendiri. Kita lebih menjaga tepi kain orang lain. Kita kisahkan semua benda yang Indonesia ada, yang Singapura miliki, yang Amerika punya, yang menjadi hak milik Arab Saudi. Kita melihat segala apa yang ada dan dimiliki oleh negara luar adalah sesuatu yang lebih membanggakan daripada apa yang kita punya. Kita lebih mengkaji tentang uniknya negara luar sampai terlupa membaca tentang betapa hebatnya negara sendiri. Kita malu untuk meramas buku, kita segan dengan ilmu. Sikap melebihkan negara luar inilah yang menjadikan masyarakat negara ini tidak betul-betul mengenali Malaysia secara seluruhnya. Justeru, sikap cinta terhadap negara sendiri harus kembali disemai. Supaya masyarakat lebih melihat permata di negara sendiri, bukannya hujan emas di negara orang.

Sikap malas membaca dan mengambil tahu jugalah menjadi punca kepada masyarakat Malaysia yang tidak tahu akan perkara asas tentang Malaysia. Masyarakat kita tidak lebih daripada separuh yang pernah menghabiskan bacaan tentang perlembagaan persekutuan. Kesannya, kita tidak tahu akan hak-hak kita, kita sering tersalah sangka tentang perkara 153 dan sebagainya. Kefasikan kita dalam membaca, dan menuntut ilmu jelas apabila kita ditanya tentang perkara-perkara asas tentang tempat yang kita diami. Pelbagai kempen telah dilaksana, kempen jom membaca, hari perundangan, dan macam-macam lagi, tetapi kita masih lagi gagal melahirkan masyarakat yang gemar membaca dan mengambil tahu tentang Malaysia. Pelbagai forum telah dilancarkan, tetapi mereka yang hadir hanyalah orang yang sama. Sama ada aktiviti yang dijalankan tidak mampu menarik perhatian masyarakat sekeliling ataupun masyarakat sekeliling yang tidak tertarik untuk mengetahui tentang Malaysia. Tepuk dada tanya selera.

Melihat kepada segala permasalahan yang berlaku, sedarkah kita bahawa kita sebagai rakyat Malaysia tidak jujur dalam mengenali negara sendiri? Setiap perhubungan dibina dengan kejujuran sebagai asasnya. Tetapi sebagai warganegara, kita sendiri tiada kejujuran dalam mengenali tanah air, ibu pertiwi sendiri. Tanpa kejujuran ini, negara Malaysia yang unik ini tidak akan dikenali di peringkat lebih tinggi. Tanpa jati diri, kita akan lenyap ditelan arus globalisasi. Hang Tuah berkata dengan megah, “takkan melayu hilang di dunia”. Tetapi apalah gunanya jika kita, Melayu ataupun bangsa Malaysia tidak hilang di dunia, tetapi kewujudan kita tidak dirasa? Kita harus disegani di segenap lapisan dunia sebagai bangsa Malaysia. Tetapi untuk mereka kenal kita yang pelbagai kaum ini, kita sendiri haruslah mengenali identiti dan keunikan yang ada yang menjadi jati diri negeri ini. Hujan emas di negara orang, hujan batu di negeri sendiri. Yang paling terbaik, tetaplah negeri sendiri.

Recent Posts