Gangsterisme, buli, dan undang-undang rimba.

Malaysia dikenali umum sebagai sebuah negara yang dihuni oleh masyarakat yang mengamalkan budi pekerti yang tinggi sebagai norma hidup. Dihuni oleh masyarakat majmuk dan pelbagai kaum yang hidup secara harmoni, Malaysia sering kali diangkat sebagai ikon contoh untuk dijadikan model negara yang hidup secara bertoleransi. Tetapi 2017 telah menyaksikan bahawa kemanusiaan di Malaysia sedang tenat dan perlahan-perlahan menuju mati. Pelbagai peristiwa telah memperlihatkan bahawa rakyat Malaysia tidak lagi mengamalkan budi bahasa sebagai budaya hidup kita.

Pelbagai kejadian yang melibatkan kemanusiaan sedang terjadi di Malaysia. Isu gangterisme dan buli seolah merajai masyarakat dewasa ini. Kita sedang dilihatkan kepada satu persatu isu yang menakutkan. Tentang bagaimana isu gangterisme dalam masyarakat Malaysia yang boleh menggugat perpaduan kaum, hinggalah isu buli dan dera yang boleh membawa kematian. Isu gangterisme ataupun bahasa pasarnya-samseng-… dilihat sedang berlaku dengan agak pantas pada masa ini. Antara peristiwa samseng yang terkenal ialah kes yang terjadi antara pelakon dan pengarah popular tanah air ketika Dialog Transformasi Nasional 50 di hadapan Perdana Menteri sendiri. Walau bagaimanapun, ia berjaya ditangani oleh yang berhormat Perdana Menteri apabila kedua-duanya saling bermaafan sejurus kemudian. Selain itu, di Pulau Pinang juga, seorang bekas polis ditampar tatkala bertanya soalan yang sekadar mahu membawa idea dan perbincangan. Ini seolah-olah membawa mesej, siapa persoal, akan ditampar! Mana pergi hak bersuara?

Antara kisah lain yang menjadi tular di laman sosial dan portal berita maya ialah terbaru tentang kes berebut tempat letak kereta di bazaar Ramadan apabila ada pihak yang tidak berpuas hati bertindak membaling selipar dan menunjukkan isyarat tangan yang tidak sopan kerana terlalu marah. Tidak dilupakan juga kisah pegawai polis wanita yang dihadang ketika membuat kerjanya oleh dua pasangan suami isteri yang tidak berpuas hati apabila cuba disaman atas kesalahan yang dilakukan.

Isu gangterisme ini juga turut melibatkan mereka yang mempunyai gelaran mahupun ahli-ahli politik. Cabaran yang dikemukakan sesama ahli politik kadang-kala menimbulkan interpretasi negatif rakyat terhadap pemimpin. Adakah kita dipimpin oleh mereka yang mempunyai nilai gangster dalam diri mereka. Malah tidak dilupakan juga, kes-kes seperti Datuk-datuk yang terlibat dalam geng-geng tertentu dan datuk yang membelasah pemandu lori hanya kerana tersalah parkir. Kita semakin dikelilingi oleh manusia-manusia yang ganas dan bertindak menindas mereka yang tidak berkudrat yakni lemah ataupun yang berbudi pekerti tinggi. Ini sedikit contoh daripada beratus atau mungkin beribu kes-kes keganasan dan serangan fizikal ataupun mental yang disengajakan oleh rakyat Malaysia. Berjalanlah di pasaraya yang terbuka sekalipun, kita akan mendengar bunyi tempik bapa memarahi anak dan isteri, ataupun isteri memarahi suami dan anak. Semuanya adalah pencetus kepada gangterisme yang akhirnya membawa kepada buli.

Kes buli tidak dapat dipisahkan daripada isu gangsterisme. Buli bermula apabila ada sekumpulan yang lebih ganas bertindak melampaui batas terhadap mereka yang tidak mempunyai daya dan upaya. Di Malaysia, buli secara perlahan-lahan telah dijadikan budaya. Lihat sahaja dimana-mana institusi yang mempunyai dua golongan ini. Iaitu golongan baru dan golongan lama(junior dan senior). Di asrama, kes buli adalah sebahagian daripada apa yang perlu dihadapi. Di universiti, kes buli menjadi sebahagian daripada acara orientasi. Dan di tempat kerja, yang baru masuk akan dibuli dengan cara membuat semua kerja yang diberi mahupun bukan kerja yang ada dalam SOP. Apabila ada yang cuba mengatakan buli adalah sesuatu yang salah, atau cuba menentang buli dengan cara membuat aduan mahupun menentang kekerasan, maka nasib mereka akan menjadi lebih teruk.

Al Fatihah untuk adik Thaqif, yang didera hingga mati, dan Innalillahiwainna ilaihirojiun kepada adik Zulfarhan yang dibuli hanya kerana mereka bertindak mendiamkan diri dan tidak mahu membalas keji dengan keji. Kematian dua individu ini dalam tempoh kurang daripada tiga bulan sepatutnya menyedarkan banyak pihak bahawa terdapat banyak lagi kes di luar sana yang sedang berlaku dan tidak dilaporkan sama ada oleh pembuli, mangsa buli mahupun organisasi tersebut. Mungkin tiada statistik yang khusus untuk menunjukkan jumlah pembuli dan mangsa buli di luar sana. Tetapi cubalah tanyakan soalan-soalan kepada mereka yang pernah atau sedang duduk asrama, adakah mereka dipaksa membuat sesuatu dengan alasan sebagai menghormati mereka yang lebih berusia(senior?) Pasti ada! Kisah dua arwah adik ini seharusnya menjadi pembuka mata untuk kita rakyat Malaysia untuk menyelamatkan mangsa-mangsa buli yang mungkin sedang mengalami nasib yang sama di luar sana. 2 kematian sudah terlalu banyak. Berapa lagi nyawa yang ingin kita korbankan kerana diamnya kita?

Namun begitu, sememangnya sukar untuk menangani kes-kes seperti ini. Minda kelas ketiga yang dimiliki oleh berjuta rakyat Malaysia menyukarkan kita untuk meletakkan pemangsa untuk diseret ke undang-undang yang sedia ada. Ramai yang akan melindungi pembuli, baik kawan-kawan, saudara-mara, ibu bapa, mahupun organisasi sesuatu tempat itu sendiri. Mereka lebih gemar berdiam diri dan menyelesaikan secara sendiri tanpa dibawa ke muka pengadilan yang saksama. Rakyat minda kelas ketiga masih lagi mengagungkan undang-undang rimba! Undang-undang yang dicipta untuk menyelamatkan mangsa, untuk menutup aib, untuk menjaga nama baik mereka. Ramai yang bertindak melebihi undang-undang negara. Apalah guna kita ada perlembagaan yang luhur jika undang-undang tidak didaulatkan. Undang-undang rimba terus bermaharajalela. Buang sekolah, gantung persekolahan, kaunseling, itu sahaja yang dilakukan secara dalaman dengan niat hendak menjaga nama baik semua pihak. Yang dibuli akan terus ditindas. Hingga akhirnya maut yang menjemput, barulah semua pihak menjadi kalut.

Selain itu, undang-undang rimba juga turut menyaksikan undang-undang yang melebihi batasnya dalam satu kesalahan. Akibat satu kesalahan, ditangkap dan dipukul sehingga nyawa melayang oleh mereka yang bukan diberi kuasa. Ini berlaku kepada seorang lelaki yang ditangkap kerana dikatakan cuba mencabul wanita di dalam bilik air wanita. Ya benar, memang salah sepenuhnya apa yang dilakukan oleh lelaki ini, tetapi tindakan masyarakat awam yang membelasah mangsa sehingga mati telah memperlihatkan seolah-olah negara ini tidak mempunyai undang-undang dan pihak berkuasa yang perlu dihormati dan berautoriti. Undang-undang rimba ini berlaku di tengah kawasan yang pesat membangunnya sebuah negara yang sedang menuju ke arah negara membangun tetapi masyarakatnya masih belum mampu bertindak di bawah akal yang waras dan matang.

Jangan tanya, apa yang kerajaan perlu lakukan untuk membendung masalah ini. Kerajaan telah lama menjalankan kerja mereka. Pembangunan inisiatif teledera melalui nombor talian 15999 telah lama diwujudkan. Nombor kecemasan 999 boleh dihubungi pada 24 jam tanpa gagal dijawab operator talian. Tanya diri kita sendiri, adakah kita telah menjalankan tugas kita sebagai ibu bapa, sebagai saudara mara, sebagai sahabat, sebagai masyarakat atau sebagai individu? Adakah kita sebahagian daripada pembuli? Yakni tanpa sengaja atau kita sedari? Adakah kita manusia yang berdiam diri tatkala melihat adanya kes buli? Kitakah yang langsung tidak berbunyi tatkala melihat rakan kita disuruh buat itu ini tanpa kerelaan diri? Kitakah yang tidak peduli tatkala melihat anak tidak boleh berdiri, lebam sana sini, dan percaya apabila mereka kata mereka hanya tidak sihat? Tanyalah diri sendiri wahai masyarakat yang dilontarkan dengan kempen budi, diajar cara hormat menghormati dengan nilai murni dan masyarakat yang diharapkan menjadi masyarakat yang madani apa yang telah kita lakukan kepada mangsa gangsterisme dan mangsa buli?

Kita masih ada masa untuk memperbaiki diri. Masih ada peluang untuk kita sedar akan kesalahan diri. Pihak universiti dan pihak asrama jangan lagi menutup isu buli yang wujud dalam organisasi. Bawa mereka yang membuli ini ke muka pengadilan bukannya undang-undang rimba. Jatuhkan hukuman setimpal kepada mereka ini sebagai pengajaran untuk diri mereka sendiri, dan tauladan kepada pembuli-pembuli di luar sana. Apabila undang-undang rimba tidak lagi dijalankan kes-kes buli akan berkurangan dan gangsterisme akan semakin mengecil dalam negara yang dilihat sebagai negara berasaskan budi pekerti yang tinggi ini. Kebersamaan kita membawa kita ke arah menjadikan Malaysia negara majmuk yang harmoni yang didiami masyarakat pelbagai kaum yang bertoleransi.

Image source: http://wwwbmpengurusan.blogspot.my/2010/08/gengsterisme.html

Recent Posts