Patriotisme tidak bermusim

Masih ada lagikah rasa patriotisme selepas tamatnya perbarisan penuh gah di Dataran Merdeka? Atau telah ia berhenti bersama-sama tamatnya bunyi semboyan perajurit-perajurit? Masih ada lagikah semangat keraian di sekolah tatkala tamatnya perbarisan sekolah bersama tamatnya waktu kokurikulum yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan sehingga bulan 8? Di perkampungan dan kawasan perumahan, masih berkibarkah setiap rumah dan pintu pagar dengan pelbagai bendera? Atau semuanya telah dibiar terbiar seusai sahaja pemenang pertandingan Kampung Patriotik diumumkan? Dan apakah barisan kerajaan yang menggantung bendera di kawasan pentadbiran, akan terus mengekalkan bendera yang sedang berkibar sebaik sahaja berlalunya Hari Malaysia?

Jika dilihat pada senario tahunan, bila tamat bulan kemerdekaan maka pergilah ia bersama rasa patriotisme dalam diri mereka yang menyambut Merdeka secara bermusim. Patriotisme hanya hadir kerana kita digembar gembur dengan promosi yang dibuat pada bulan kemerdekaan. Kebanyakan aktiviti yang dianjurkan adalah bersempena bulan kemerdekaan. Bulan kemerdekaanlah akan membawa kita menghidupkan semula roh patriotisme dalam diri kita. Apabila berlalu sahaja Merdeka maka berehatlah sebentar patriotisme dalam diri.

Patriotisme juga dihembus ke dalam sanubari masyarakat apabila negara kita sedang berada dalam temasya kejohanan sukan, yakni bersaing dengan negara lain. Patriotisme masyarakat Malaysia, memuncak apabila Sukan Sea berlangsung pada tahun ini. Ini dibuktikan pada perlawanan bola sepak akhir Malaysia yang melihat kebanjiran pelbagai kaum yang begitu bersemangat dan penuh rasa cinta terhadap tanah air kita. Begitu juga tatkala penutupan Sukan Sea yang disambut satu malam sebelum hari merdeka. Penuh semangat patriotisme yang dipamerkan oleh pelusuk rakyat Malaysia. Tetapi hari ini adakah semangatnya masih begitu?

Mungkin ada saki baki patriotisme yang wujud dalam masyarakat. Tetapi bagaimana hendak dibuktikan patriotisme ini apabila persediaan sukan para Asean tidak semeriah Sukan Sea? Kenapa skuad Harimau Malaya yang sedang bertarung dalam Kelayakan Piala Asia tidak menerima sambutan? Hari Malaysia yang hendak disambut pada 16 September ini lebih berfokus di Borneo semata-mata. Sudah hilangkah semangat patriotisme kita bersama tamatnya bulan kemerdekaan dan Sukan Sea?

Mungkin kenyataan ini silap. Mungkin segala persoalan ini hanyalah sekadar pendapat negatif yang hadir daripada pengalaman lampau seorang masyarakat biasa dalam negara majmuk ini. Tetapi kemungkinan untuk berlaku lagi fenomena patriotisme bermusim ini adalah tinggi peratusannya pada sambutan kemerdekaan Malaysia ke-60 ini. Justeru, beberapa langkah alternatif bertujuan untuk menghalang patriotisme berlalu bolehlah dijadikan sebagai usaha untuk memastikan patriotisme tidak bermusim.

Pertama, kerajaan tidak boleh berhenti dengan segala usaha menyuntik roh patriotisme dalam masyarakat. Kempen Negaraku, yang memperlihatkan nyanyian Aku Negaraku berkumandang dengan kerap di corong saluran media, pejabat kerajaan, dan sekolah-sekolah merupakan satu pembakar semangat patriotisme yang sangat bagus untuk terus meresap dalam diri masyarakat kita. Selagi ada suntikan semangat menerusi inisiatif yang dipamerkan oleh barisan kerajaan ini selagi itulah kita akan mampu memastikan semangat patriotisme terus bersemadi kukuh dalam diri masyarakat Malaysia.

Selain itu media arus perdana harus berfungsi sepanjang masa menyorakkan semangat cintakan tanah air menerusi saluran penyampaian yang mereka miliki. Stesen TV dan radio mempunyai sasaran yang khusus setiap hari khasnya golongan yang mendengar radio dan menonton tv setiap hari. Kisah-kisah perjuangan menuntut kemerdekaan bukan hanya disiarkan pada bulan lapan sahaja. Leftenan Adnan dan Sarjan Hassan bukanlah filem wajib tayang di bulan kemerdekaan semata-mata. Sepertimana penghasil filem mengeluarkan filem-filem yang cuba menggarap cinta terhadap tanah air, agama dan bangsa tanpa mengenal masa, begitu jugalah mereka yang memiliki kuasa media arus perdana. Cerita berkualiti seperti Ola Bola, Adiwiraku, Upin Ipin dan juga Boboi Boy yang mengetengahkan elemen perpaduan, kemerdekaan, kepelbagaian yang menghembus roh patriotisme dalam diri.

Selain itu, masyarakat juga harus sentiasa mengambil tahu akan ciri-ciri yang mampu membangkitkan semangat cintakan tanah air dalam diri kita. Apalah ertinya mengaku warganegara jika kita langsung tidak kenal negeri tanah tumpah darah ini. Siapa lagi yang ingin mempelajari dan menyampaikan kisah kemerdekaan jika bukan kita pemilik kad pengenalan warganegara Malaysia yang berdaulat ini. Kecaknaan kita adalah kecintaan kita kepada tanahair. Semakin kita mengenali bumi majmuk ini, selagi itulah kita mampu untuk menzahirkan semangat patriotik dalam diri kita.

Terima kasih Malaysia kerana telah memperlihatkan kepada kami tentang indahnya perpaduan. Demi 14 jalur yang melintang, 14 bucu bintang, kami akan pastikan bendera jalur gemilang kami dikibar megah sepanjang masa. Marilah sama-sama kita berjanji, bahawa pada musim kemerdekaan tahun ke-60 ini, kita tidak akan memberhentikan patriotik kita sehingga 16 September ini sahaja. Patriotisme tidak akan bermusim lagi. Segala kebanggaan Malaysia, akan kita pamerkan segah dan semegah kita mempamerkan segalanya ketika bulan kemerdekaan.

Image source: http://4.bp.blogspot.com

Recent Posts