Raikan toleransi

Masih ada lagi isu dobi di dada akhbar dan perbualan di kedai kopi. Ingatkan ini hanya isu kecil yang tidak perlu diangkat serius. Rupa-rupanya ia melibatkan ramai pihak, dari institusi kesultanan hinggalah ke Ustaz Zamihan. Isu kecil ini yang diperbesar-besarkan. Pelbagai fakta, data, hujah, rasional dibentangkan oleh mereka yang mempunyai pelbagai pendapat. Kerencaman pendapat ini menampakkan seolah-olah kita tidak mahu kalah dalam pendirian masing-masing. Oleh sebab yang demikianlah hingga hari ini, dobi muslim masih meniti di bibir-bibir masyarakat di Malaysia ini.

Daripada isu dobi juga kita akan mendengar mereka yang cuba mengaitkannya dengan satu lagi pesta yang sia-sia. “Octoberfest” : Pesta arak yang diadakan pada setiap Oktober. Pelbagai kecaman diberikan kepada pemerintah negeri, penganjur dan juga institusi beraja. Kata mereka, kenapa dobi muslim sensitif terhadap bukan muslim tetapi pesta arak tidak sensitif terhadap muslim. Maka muncullah peperangan siber yang tiada kesudahannya. Berperanglah mereka antara dobi muslim dan pesta arak sehingga kesemuanya berpuas hati.

Tidakkah kita sedar bahawa kedua-dua isu ini sebenarnya kecil sahaja? Dobi muslim wujud untuk orang Muslim. Biarkanlah sahaja perniagaan mereka. Apa kaitannya terhadap kita? Apakah signifikannya terhadap perpaduan bangsa? 13 Mei 1969 tidak terjadi kerana wujudnya Dobi Muslim, begitu juga dengan Peristiwa Kampung Medan. Dobi Muslim ini secara latarnya hanyalah golongan-golongan usahawan yang cuba berinovatif dalam perniagaan mereka. Mereka mengambil peluang terhadap masalah yang berlaku dalam kalangan masyarakat Islam yang mengamalkan Islam secara menyeluruh yakni mengikut setiap tuntutan agama secara menyeluruh. Tidak perlu beritahu saya bahawa ada muslim yang pakai dobi muslim tapi hati busuk, tidak perlu!

Tidak perlu kerana golongan yang akan ke dobi muslim adalah yang benar-benar berusaha menjaga kesucian walaupun ia hanya elemen kecil dalam Islam. Ya golongan sebegini wujud di Malaysia dan pengusaha dobi Muslim ini mengambil peluang untuk memfokuskan khidmat ini kepada golongan ini. Itu pilihan mereka, dan jika kita tidak suka, pergilah ke dobi lain. Kenapa perlu benci orang yang praktiskan fahaman mereka? Sebagaimana wujudnya kedai makanan India untuk orang India yang tidak suka makan makanan mamak sebegitulah dobi muslim ini berfungsi. Ini pilihan bukannya paksaan. Kuasa wang yang memain peranan.

Begitu juga dengan kesnya tentang pesta arak yang hendak dijalankan pada bulan Oktober ini. Orang-orang Muslim kebanyakannya menentang keras-sekerasnya sehingga wujud ketegangan antara muslim dan bukan muslim. Kenapa? Sedangkan pesta arak ini bukannya diadakan pada bulan Oktober sahaja. Banyak kelab-kelab malam yang wujudkan pesta-pesta sebegini tetapi pada tahun ini sahaja ia tular dan dibincangkan ramai. Maka wujudlah ustaz-ustaz segera yang mengharamkan kerajaan Malaysia. Ada juga orang lain yang menyelar muslim sebagai sempit dan ganas. Tidak hairan juga dengan ancaman bahawa pesta arak ini akan menjadi tumpuan serangan Daesh. Hasilnya, Islam digambarkan sebagai agama kekerasan.

Persoalannya, Oktoberfest, tidak langsung membuat promosi secara besar-besaran, tiada siapa yang tahu tentang Oktoberfest ini seandainya mereka-mereka yang primitif ini tidak menularnya. Oktoberfest juga tidak diadakan untuk orang-orang Islam, sebaliknya ia diadakan sekadar untuk mengikuti budaya Jerman yang dikhaskan kepada orang yang minum arak semata-mata. Salah untuk minum arak di sisi Islam dan Muslim seharusnya memboikotnya sebagai seorang muslim terlebih dahulu. Walau bagaimanapun, tidak menjadi kesalahan disisi undang-undang negara Malaysia yang majmuk ini untuk meminum arak justeru kita sudah tidak boleh mengubah mereka. Dan untuk menjadi muslim yang sejati perkara yang perlu kita lakukan ialah mencegah dengan hati. Bencilah perbuatan tersebut, bencilah kelakuan tersebut, bencilah arak tersebut dan bencilah mereka-mereka yang tidak berbuat apa-apa menghalang kemungkaran ini, tetapi jangan membenci manusia sehingga menghukum dan mengkafirkan mereka. Itu tugas yang maha Esa.

Kedua-dua isu ini sebenarnya boleh diselesaikan sekiranya toleransi antara kita berada sama seperti kita hidup di zaman nenek moyang kita dahulu. Kita sudah tidak lagi mempamerkan semangat bersatu seperti yang diajar oleh nenek moyang kita dahulu. Zaman itu sudah berlalu. Walau dulu mereka hidup dalam zaman pecah dan perintah tetapi mereka tahu bahawa pentingnya toleransi dan bersatu-padu. Tetapi kita hari ini lebih kepada ingin menjadi yang paling betul dalam setiap isu. Jika kita memberi ruang dan peluang terhadap setiap kaum untuk menikmati kehidupan masing-masing dengan penuh rasa toleransi isu-isu ini hanya seperti angin lalu. Tidak akan berhenti di situ.

Biarlah Muslim ingin hidup dengan cara muslim mereka asalkan ia tidak terlalu ekstrem dan mewujudkan kebencian semata-mata. Sebagaimana wujudnya sekolah pelbagai aliran, Kolej Han Chiang dan Universiti Islam Antarabangsa, kita hanya perlu bertoleransi dan merasakan perkara-perkara sebegini perlu untuk muslim merealisasikan agama mereka. Dan muslim juga haruslah bertoleransi terhadap mereka yang memilih untuk hidup dalam budaya yang mengangkat arak sehingga ke taraf pesta selagi ia tidak merbahaya kepada golongan muslim dan memberi bahaya kepada negara.

Janganlah penulisan ini disalah-sangka sebagai sebuah penulisan yang menyokong arak dan menyokong perpecahan melalui agama. Penulisan ini adalah penulisan meminta kita semua untuk menjadi lebih bertoleransi terhadap tuntutan agama dan budaya yang dimiliki oleh kepelbagaian bangsa yang ada di negara Malaysia. Jangan pula penulisan ini disangkal sebagai penulisan menggalakkan budaya kekafiran.

Jika saja kekafiran itu memberi erti yang menyusahkan muslim secara keseluruhannya, mengapa kita dilahirkan bersama-sama? Jika Sang Pencipta mahu, dia boleh sahaja mencipta kita dari satu bangsa dan satu agama tetapi Dia cipta kita berbeza-beza supaya kita saling mengenal dan menerima. Didatangkan kepada kita seorang Rasul yang mulia yang menyebarkan Islam ke pelusuk dunia hingga ke angkasa lepas (solat di angkasa). Tetapi Abu Talib yang paling rapat dengan Rasul dijadikan Allah sebagai seorang yang tidak menerima agama Allah sehinggalah ke hembusan nafas terakhirnya. Tidakkah ini membuat kita terfikir bahawa Allah hendak kita hidup bersama walau berlainan agama?

Justeru, marilah kita belajar untuk hidup bersama-sama. Yang bukan muslim berhentilah menghina dan menentang mereka-mereka yang muslim yang benar-benar memilih untuk menjaga elemen kesucian yang kecil dan sememangnya dituntut dalam agama Islam. Dan yang Muslim berhentilah menghentam dan melakukan keganasan sehingga ada golongan Islam yang ekstremis hendak menyerang Oktoberfest dan melakukan pembunuhan. Islam datang sebagai agama yang lembut dan berperikemanusiaan. Praktiskanlah ini di Malaysia yang majmuk ini. Pesanan untuk semua, pesan kepada semua manusia, tingkatkanlah toleransi, jangan dibakar sensitiviti, usah bergaduh atas isu yang hanya bertujuan mementingkan diri. Anda tahu anda siapa.

Image source: http://campussuite-storage.s3.amazonaws.com

Recent Posts