Bacaan teks penuh Rukunegara di seluruh sekolah

Adalah menjadi tugas kita semua untuk memperkasakan Rukunegara. Namun begitu, sebelum pergi lebih jauh, pasti ramai tertanya, kenapa taip Rukunegara bukan Rukun Negara. Anggaplah, ia sebagai suatu bentuk penulisan yang memberi pemberatan yang lebih kepada asal usul Rukunegara. Dimana pada awal penciptaannya ia dieja sedemikian rupa. Bertitik tolak dari situ, maka ejaan ini disengajakan begini bagi menyanjung tinggi usaha dan peranan yang telah dimainkan kepada pencipta dan penggubal Rukunegara.

Hari Bacaan Ikrar Rukun Negara 2017 yang berlangsung pada 13 November 2017 yang lepas adalah sesuatu yang amat signifikan dalam usaha memperkasakan Rukunegara khususnya dalam kalangan warga sekolah. Seluruh sekolah bersama-sama melafazkan Bacaan Ikrar Rukun Negara yang dilaksanakan serentak seluruh Malaysia pada 13 November 2017. Sejak Rukunegara diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong, iaitu Seri Paduka Baginda Tuanku Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin pada 31 Ogos 1970, iaitu sempena ulang tahun ke-13 kemerdekaan Malaysia, pelbagai inisiatif mempromosikannya telah dijalankan. Ini termasuklah melalui medium sekolah-sekolah, berita, saluran media, dan kakitangan kerajaan menjadi tulang belakang menghebahkan ideologi ini sehingga ia menjadi terkenal. Pada hari ini, usaha memperkasakan Rukunegara dilihat masih lagi diberi penekanan berat oleh pihak kerajaan menerusi sekolah-sekolah dalam usaha menyampaikan sebuah falsafah kebangsaan yang membawa nilai perpaduan.

Bersempena dengan Hari Bacaan Ikrar Rukun Negara 2017, setiap rakyat Malaysia yang berpeluang untuk berada di alam persekolahan, semestinya akan membawa kita mengingati apa itu bacaan ikrar. Secara umumnya, bacaan ikrar Rukunegara akan diketuai oleh seorang pengucap yang biasanya merupakan pengawas sekolah, kemudian akan diikuti oleh kesemua pelajar dan guru. Ia diajar daripada perhimpunan pertama ketika kita di darjah 1 sehinggalah kita menamatkan pelajaran kita di peringkat sekolah. Ia pastinya salah satu kenangan yang tidak boleh dilupakan.

Walau bagaimanapun , kenangan memang tidak kita lupakan, tetapi Rukunegara mungkin sebahagian besar daripada kita sudah pun tidak ingat baris-baris yang terdapat dalamnya. Kita mungkin tidak hafal tetapi sekurang-kurangnya kita tahu, bahawa negara ini mempunyai sebuah falsafah kebangsaan yang kita panggil sebagai Rukunegara. Di sini juga terdapat satu permasalahan yang berlaku. Mungkin bukan semua, tetapi kebanyakan sekolah di Malaysia hanya melafazkan bacaan ikrar Rukunegara yang bermula dengan ayat Maka Kami, yakni menekankan prinsip sahaja. Sedangkan Rukunegara sebenarnya terkandung kepada dua bahagian iaitu Cita-cita dan Prinsip.

Seperti apa yang diamalkan oleh Sekolah Kebangsaan Presint 8(2) yang menjadi sekolah untuk perasmian program Hari Bacaan Ikrar Rukun Negara 2017 ini, difahamkan sekolah ini mengambil inisiatif membaca teks penuh Rukunegara pada setiap perhimpunannya bermula dari awal tahun persekolahan. Ini adalah suatu usaha yang murni dalam memperkasakan Rukunegara. Perkara ini seharusnya menjadi ikutan malah kewajipan untuk semua sekolah di Malaysia. Melalui bacaan ikrar dengan teks penuh di sekolah-sekolah kita akan berjaya mengingatkan semula dan mendidik pelajar-pelajar bahawa Rukunegara mengandungi cita-cita mulia yang hendak dicapai dengan menggunakan prinsip-prinsip yang murni.

Usaha yang murni oleh Kementerian Pendidikan dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional ini dilihat sebagai satu batu loncatan dalam usaha untuk mendidik masyarakat khususnya warga sekolah untuk mengamalkan bacaan ikrar yang penuh dalam perhimpunan sekolah. Bacaan ikrar ini sudah tentunya akan mendidik pelajar-pelajar untuk mencapai apa yang dilafazkan dan bukan sekadar meniti di bibir semata-mata. Kementerian Pendidikan dan JPNIN seharusnya diberikan pujian atas inisiatif yang sangat bermatlamatkan mencapai perpaduan negara ini kerana komitmen mereka dalam melaksanakan program Hari Bacaan Ikrar Rukun Negara 2017 ini.

Selain itu, Kementerian Pendidikan juga dicadangkan untuk mengeluarkan pekeliling yang menggalakkan setiap sekolah untuk memberi tumpuan penuh kepada bacaan ikrar Rukunegara. Ini bertujuan supaya semua sekolah di Malaysia akan mula membaca ikrar Rukunegara dengan teks yang penuh dan bukan sekadar prinsip sahaja. Antara cadangan lain pula, Kelab Rukun Negara setiap sekolah boleh ditugaskan untuk menjadi pembaca ikrar Rukun Negara yang penuh. Melalui program Silang Budaya difahamkan terdapat 220 sekolah yang mempunyai Kelab Rukun Negara yang aktif. 220 Kelab Rukun Negara mampu untuk menjadi agen kecil untuk memperkasakan Rukunegara dalam kalangan warga sekolah khasnya dengan inisiatif yang murni daripada kerajaan.

Hari bacaan Ikrar Rukun Negara 2017 ini diharapkan menjadi ikutan dan memberi teladan yang baik kepada semua sekolah di Malaysia. Dari Perlis hinggalah ke Sabah, diharapkan semua warga pendidik akan berusaha untuk memastikan bahawa setiap sekolah mampu untuk membaca teks penuh Rukunegara sebagai bacaan ikrar pada setiap perhimpunan. Ini merupakan tanggungjawab setiap daripada kita untuk memastikan Rukunegara dijadikan falsafah kebangsaan yang sepenuhnya. Kitalah yang akan bertanggungjawab dalam memperkasakan ideologi yang tujuannya untuk melahirkan masyarakat yang cintakan perpaduan. Semoga Rukunegara akan terus diperkasakan dengan inisiatif sebegini.

Image source: http://http://skipgmperlis.edu.my

Recent Posts