Menolak diskriminasi di negara sendiri

Bila kita pergi ke negara orang, kita merasa hujan emas, tetapi kita ingat pesan orang dulu, hujan batu di negara sendiri, baik lagi negara sendiri. Kita pesan pada anak-anak yang membesar dengan peribahasa-peribahasa, masuk kandang lembu menguak, masuk kandang harimau mengaum. Pesan nenda lagi dalam peribahasa-peribahasa yang tinggi sifat santunnya, dimana bumi dipijak, disitu langit dijunjung. Semua ini, membawa maksud yang sama. Iaitu apabila berada di negara orang, hormati negara tersebut. Jika kita benar-benar ingin membawa diri, kita akan cuba menyesuaikan diri dengan adat dan budaya di tempat yang kita pergi.

Oleh hal yang demikian, kisah tular mengenai penampilan pelajar cemerlang SPM 2004, Dr. Amalina Che Bakri yang dari bertudung kepada tidak bertudung, langsung tidak menjadi isu yang hangat kerana sebilangan besar kita faham bahawa beliau cuba menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling yang sedemikian rupa. Malahan, dia tidak pula bersikap mengancam atau memalukan Malaysia, sebaliknya dengan penampilan yang menjadi pilihannya, dia terus-menerus membuat negara ini bangga dengan pencapaiannya. Itu pilihan seorang yang memegang prinsip peribahasa-peribahasa diatas.

Tetapi di Malaysia, skripnya tidak sama seperti kisah doktor yang kita banggakan ini. Di sini, orang luar datang untuk berniaga, tetapi kita pula yang perlu mengikut polisi mereka. Kita pula yang harus mendengar syarat-syarat yang mereka tetapkan. Sepertinya, negara merdeka ini tiada perlembagaan yang perlu mereka patuhi. Sepertinya masyarakat Malaysia bebas mereka patuh dan perintahkan sekiranya mereka ingin memberi gaji. Kesal, tetapi inilah yang berlaku di Malaysia apabila terdapat laporan-laporan yang mengatakan terdapat hotel-hotel yang melarang pekerja wanita bertudung untuk bekerja di bahagian hadapan. Pada mulanya, ini hanyalah dianggap sebagai khabar angin yang sekadar hendak memainkan sentimen semata-mata, malangnya, selepas beberapa ketika, Persatuan Hotel Malaysia dengan beraninya mengeluarkan kenyataan mengatakan polisi ini ialah polisi antarabangsa dan telah dijalankan selama 10 tahun di Malaysia.

Bayangkan, berapa ramai golongan wanita Islam yang telah didiskriminasi hak mereka dalam peluang pekerjaan. Tidak, ini bukan soal kaum semata-mata, bukan tentang rezeki anak Melayu sebagainya. Ini tentang hak orang Islam yang boleh terdiri daripada pelbagai kaum yang memilih untuk melabuhkan dada mereka dengan cara mengenakan tudung di kepala. Jelas sekali, ini adalah diskriminasi kepada golongan masyarakat yang memilih untuk berpakaian seperti ini. Selama 10 tahun, golongan sebegini telah dilarang hak mereka untuk bekerja di bahagian hadapan. Sudah tentulah, ada segelintir yang memilih untuk mengubah gaya hidup, menanggalkan tudung demi mendapatkan pekerjaan. Tidakkah ini sesuatu yang harus semua pihak berasa kasihan dan perlukan keadilan?

Di sebalik kejadian ini terdapat dua perkara yang benar-benar menjadi kekesalan. Pertamanya, tentang kebiadapan pemilik-pemilik hotel yang tidak menghormati perlembagaan yang menyatakan dengan jelas bahawa Islam sebagai agama rasmi dan agama lain bebas dianuti dan dipraktikkan. Mereka juga dengan beraninya menafikan hak warganegara menurut Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan yang telah memperuntukkan bahawa tiada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam sebarang undang-undang mahupun pelantikan jawatan pekerjaan. Semua ini dilanggar hanya dengan alasan wanita bertudung tidak mampu menarik pelanggan dan akan mendatangkan kerugian. Apabila dikritik, keluar pula sokongan daripada Persatuan Hotel Malaysia yang mengatakan ini semua adalah prosedur antarabangsa yang kita perlu turuti. Apakah negara ini harus mengikut telunjuk, mendengar dan mengangguk secara membuta tuli. Sudah hilangkah manusia-manusia yang berani di Malaysia ini sampai kita boleh tunduk dikawal sebegini?

Perkara ini menjadi masalah kedua dalam permasalahan ini. Manakah perginya individu-individu yang lantang memperjuangkan hak-hak warganegara Malaysia dalam negara ini? Mana pergi insan-insan berintelektual tinggi yang menghentam teruk dobi muslim tempoh hari atas alasan yang sama iaitu diskriminasi. Mungkin ada sesetengah yang berkata, “bertudung sahaja, bukannya ada tulis dalam Al-Quran pun. Bertudung bukan budaya Melayu pun, budaya Arab”. Inilah masalahnya intelektual yang memahami agama mengikut akal semata-mata. Larangan bertudung ini, bukanlah semata-mata hal agama. Ini adalah masalah diskriminasi terhadap kaum wanita yang memilih bertudung sebagai salah satu cara hidup mereka. Jika mereka mengatakan tunjukkan pada mereka mana bukti dalam Al-Quran yang menyuruh wanita bertudung maka ingin ditanyakan kembali pada mereka, tunjukkanlah bukti dalam Al-Quran  yang mengatakan, manakah ayat yang memberikan hotel hak untuk menentukan cara pekerja mereka berpakaian.

Wanita akan terus didiskriminasi sekiranya sesuatu tidak dilakukan terhadap isu ini. Jangan pandang ia sebagai isu tudung semata-mata. Ini ialah isu yang menindas perlembagaan dan warganegara Malaysia. Jika kita berdiam dan bersifat tidak endah akan isu diskriminasi ini, makanya, kita telah membenarkan polisi antarabangsa mencemar budaya, mencemar nama, dan mengambil kesempatan kepada warganegara Malaysia yang ingin mencari rezeki. Nenek moyang kita telah bersatu padu untuk menentang dan mengusir penjajah yang keji ini. Mereka menggubalkan perlembagaan dan undang-undang untuk melindungi generasi negara majmuk ini walaupun mereka sudah tiada lagi. Tetapi adakah kita bertindak sebaliknya dan hanya berdiam diri terhadap isu ini?

Mungkin hujan batu sudah tidak lagi kita endah. Harimau masuk ke kandang lembu mengaum dan menerkam. Hujan emas yang dipandang bangga oleh orang. Dibumi sendiri kita dipijak orang, orang tidak menjunjung langit majmuk tetapi mencalar bangsa yang sekadar tahu ikut dan angguk. Tidak. Jangan benarkan ini berlaku. Kuasa itu ada pada setiap dari kamu yang bergelar rakyat Malaysia yang bersatu. Kita tidak akan benarkan sesiapa pun melakukan diskriminasi terhadap kaum-kaum yang lain. Mungkin hari ini, kaum Cina, India, dan etnik-etnik di Sabah dan Sarawak menolak diskriminasi yang sedang berlaku terhadap Melayu. Pada masa hadapan, Melayu pula akan mempertahankan kaum lain daripada diskriminasi yang berlaku seperti kisah Dobi Muslim yang dulu. Kerana apa pun kaum kita, kita tetap akan bersatu, sebagai satu bangsa. Bangsa Malaysia. Negaraku.

Image source: http://http://icjr.or.id

Recent Posts