Jadikan Rukunegara Manifesto Pilihanraya

Rakyat Malaysia rata-ratanya sedar bahawa tahun ini adalah tahun pilihan raya umum. Melihat kepada strategi parti-parti politik yang kini rata-rata ahlinya sedang giat untuk mempromosikan diri ke setiap negeri di seluruh Malaysia jelas sekali melihatkan bahawa parti-parti ini sedang cuba untuk memenangi hati rakyat. Ini adalah senario biasa yang akan berlaku apabila menjelangnya musim pilihan raya. Ini adalah permulaan kepada pertarungan secara sihat negara ini dalam menghadapi pilihan raya bagi menentukan siapakah yang bakal memimpin negara yang menjulang tinggi nilai demokrasi berparlimen ini.

Setiap parti politik sudah pastinya sedang bersedia dengan pelbagai persiapan, yakni strategi utuh untuk memenangi pilihanraya kali ini. Politik sihat sebegini ialah amalan tradisi di Malaysia. Namun begitu, adalah menjadi harapan besar warga Malaysia agar untuk pilihan raya kali ini, elemen perpaduan menjadi teras yang paling utuh dalam setiap tingkah laku. Banyak pendapat yang mengatakan bahawa politik adalah pemecah perpaduan. Justeru, pada pilihan raya kali ini, harus menjadi tempat untuk mereka yang terlibat dalam politik untuk meletakkan perpaduan sebagai manifesto utama rakyat Malaysia bagi menghakis fahaman yang menganggap politik sebagai pemecah perpaduan.

Sebagaimana gagasan 1Malaysia dilaungkan sebagai sebuah ideologi yang menyatukan, beberapa inisiatif lain kerajaan seperti Transformasi Nasional 50 dan #negaraku juga dilihat sebagai antara manifestasi perpaduan yang boleh ditiupkan untuk menyuntik semangat perpaduan dalam negara multietnik ini. Tetapi adalah mustahil untuk segala yang digagaskan oleh kerajaan yang memerintah pada masa kini akan diambil oleh parti pembangkang kerana perbezaan ideologi yang wujud antara parti politik di Malaysia ini tidak ubah seperti lautan di selat Gibraltar yang mana air lautnya tidak bercampur walaupun dalam lautan yang sama. Keegoan ini akan menjadikan ideologi yang bermotifkan perpaduan dan bertunjangkan masyarakat menjadi sesuatu yang sukar untuk diterima oleh masyarakat yang mempunyai perbezaan politik dan pendapat. Lantaran itu, kita harus memikirkan alternatif lain bagi memastikan tunjang perpaduan dapat dikekalkan sebagai manifestasi dalam kalangan masyarakat.

Wawasan 2020 yang juga menekankan perpaduan turut dilihat sebagai sesuatu yang menarik sebagai manifestasi perpaduan. Walaupun banyak suara-suara yang mengatakan bahawa kita sudah hampir mustahil untuk merealisasikan wawasan ini tetapi dari sudut perpaduan ia masih lagi relevan. Walau bagaimanapun, pihak kerajaan semestinya lebih berminat dengan TN50 berbanding wawasan 2020 yang kini seakan satu halangan dalam karier politik barisan kerajaan masa kini. Sehubungan dengan itu, wawasan 2020 hanya relevan untuk digunakan parti politik pembangkang dan tidak bersifat menyeluruh sekiranya kerajaan tidak berminat terhadap ideologi ini sebagai manifestasi.

Secara jujurnya, ideologi nasional yang paling utuh untuk dijadikan manifestasi perpaduan oleh kedua-kedua pihak yakni kerajaan ataupun pembangkang ialah falsafah kebangsaan kita iaitu Rukunegara. Ia bukan sahaja relevan untuk kerajaan Barisan Nasional yang dipimpin oleh anakanda kepada pencetus idea Rukunegara sebaliknya ia juga relevan kepada pembangkang termasuklah Parti Islam Semalaysia yang merupakan antara sebahagian ahli Majlis Perundingan Negara yang menyokong pembentukan Rukunegara pada suatu masa dahulu. Rukunegara ialah satu falsafah yang dibina atas semangat persaudaraan dan perpaduan yang paling tinggi menjangkaui parti politik pada masa dahulu dan tetap relevan hinggalah dewasa ini.

Falsafah kebangsaan ini, dilengkapi dengan penuh nilai perpaduan dan nilai budaya bangsa secara keseluruhannya. Lihat sahaja pada 5 cita-cita yang ingin dicapai oleh Rukunegara dimana cita-cita yang pertama ialah untuk mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya. Pada matlamat pertama sahaja ia telah menunjukkan perpaduan sebagai manifestasi utama dalam kalangan masyarakat.  Jika Rukunegara diangkat sebagai manifesto baik oleh kerajaan mahupun pembangkan nescaya, matlamat untuk mempertingkatkan perpaduan akan menjadi wadah utama perjuangan mana-mana parti pun di Malaysia ini.

Matlamat kedua dalam Rukunegara yang mengimpikan untuk Malaysia melahirkan masyarakat yang memelihara satu cara hidup demokratik ialah sebuah cita-cita yang sangat berkaitan khususnya dalam pilihan raya yang dijalankan di sebuah negara yang mengamalkan demokrasi sebagai asasnya. Melihat kepada beberapa cita-cita lain, dan prinsip-prinsip Rukunegara jelas mengajak masyarakat ke arah suatu masyarakat yang berbudaya tinggi selari dengan apa yang dimpikan oleh gagasan 1Malaysia, Wawasan 2020 dan Transformasi Nasional 50.

Oleh yang demikian, adalah menjadi harapan masyarakat Malaysia secara keseluruhannya agar parti-parti politik yang akan terlibat dan bertanding dalam pilihanraya pada tahun ini untuk mengangkat Rukunegara sebagai manifesto utama dalam memperjuangkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa di negara ini. Besarlah harapan untuk melihat roh Rukunegara dijadikan semangat dalam kempen-kempen parti politik yang benar-benar ingin memperjuangkan perpaduan sekiranya diberi peluang memerintah negara multietnik ini. Semoga perpaduan tidak akan dilupakan dan semoga falsfah kebangsaan diangkat sebagai suatu ideologi bersama tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan fahaman politik.

Image source: http://tv14.my

Recent Posts