Menitikberatkan perpaduan, tanggungjawab bersama

Agak terkejut membaca satu artikel daripada seorang manusia hebat seperti TK Chua berkenaan perpaduan. Artikel berkenaan pula merupakan balasan kepada sebuah rencana yang mencadangkan agar perpaduan diambil sebagai salah satu manifesto dalam Pakatan Harapan kerana kurangnya elemen itu dalam manifesto pembangkang. Tidak semena-mena, hasil teguran sebegini mendapat satu reaksi yang boleh dikatakan bukan sekadar agak mengejutkan, malah mengecewakan daripada seseorang yang bergelar warganegara Malaysia.

Bagaimana seorang warganegara boleh menyatakan bahawa perpaduan merupakan perkara yang tidak perlu untuk dikatakan. Bagaimanakah negara yang dibina atas semangat toleransi dan bersatu padu ini dikatakan tidak memerlukan komitmen terhadap perpaduan dalam janji-janji mendirikan negara Malaysia yang berjaya?

Kesal apabila membaca baris-baris yang mempertikaikan usaha-usaha kita sebelum ini tentang perpaduan. Bagi seorang warganegara seperti TK Chua, beliau sendiri menyindir bahawa slogan-slogan yang kita baca di sekolah, program-program perpaduan yang kita jalankan kepada anak-anak kita sebagai sesuatu kegagalan dalam menzahirkan perpaduan. Dalam setiap usaha yang telah dijalankan oleh negara ini, beliau tidak sedikit pun mahu melihat bahawa pengamalan slogan yang dibaca itulah permulaan kita diajar tentang bagaimana untuk bersatu padu dari kecil. Mungkin perlu untuk dikuliahkan semula tentang sejarah pembentukan Malaysia kepada saudara supaya lebih diingati bagaimana perpaduan pada dulunya diberi penekanan yang hebat sehingga kita berjaya menikmati apa yang kita kecapi hari ini.

Berbalik kepada perdebatan tentang perlu atau tidak perpaduan dalam manifesto pakatan harapan, tiga perkara akan diterangkan dengan harapan ia dapat difahami dan dapat Saudara TK Chua bermuhasabah diri. Pertama, jika perpaduan tidak perlu diperkatakan dalam manifesto atas alasan ia merupakan matlamat semula jadi mana-mana negara, tidakkah rasuah juga begitu? Setiap negara yang memerintah sentiasa inginkan negara mereka bebas dari rasuah, mempunyai integriti yang tinggi dan sifar ketirisan. Itu adalah matlamat semula jadi mana-mana negara. Tetapi mengapa memerangi rasuah diletakkan di dalam manifesto sedangkan ia bersifat semula jadi sama seperti perpaduan. Adakah kerana integriti lebih popular dan menguntungkan berbanding integrasi yang kedengaran bosan dan merugikan? Anda jawab.

Kedua, jika pakatan harapan benar-benar merasakan mereka mampu melaksanakan program-program dan pembangunan yang telus, dan oleh hal yang demikian mereka akan dapat menzahirkan perpaduan hasil dari kejayaan-kejayaan berikut, apakah pendirian pihak pembangkang terhadap isu perpaduan secara harfiahnya? Kita( rakyat Malaysia) tidak akan tahu kerana perpaduan tidak dinyatakan dalam manifesto mereka. Sebagai seorang pemimpin yang benar dan komited terhadap usaha membangunkan sebuah negara yang didiami oleh masyarakat pelbagai etnik, maka perpaduan perlu dinyatakan sebagai manifesto mereka secara bertulis. Jika untuk memasukkan perpaduan dalam manifesto pun sudah berat hati, apalah jaminannya bahawa pihak pakatan harapan akan memberi penekanan terhadap perpaduan kepada negara ini. Maka perlunya pihak pembangkang meletakkan perpaduan sebagai lambang akauntabiliti pihak pakatan dalam usaha menegakkan integrasi masyarakat majmuk negara ini.

Ketiga, pertikaian terhadap slogan-slogan yang diajar di sekolah merupakan sesuatu yang sangat bersifat implisit. Ia seolah-olah menunjukkan bahawa saudara memandang sinis tentang usaha menzahirkan perpaduan sedari awal persekolahan. Oleh hal yang demikian, andaian yang dapat diberikan kepada saudara ialah, saudara merupakan seorang yang menganggap perpaduan sebagai suatu yang bersifat ada sekadar ada sahaja. Slogan-slogan yang dilafazkan itulah falsafah kebangsaan yang telah menyelamatkan negara ini daripada amukan berdarah, parang terbang dan rusuhan kaum yang berlaku pada 1969. Rukunegara telah berfungsi sangat baik sejak dulu hingga kini, dan ia diajar di sekolah agar peristiwa dahulu tidak berulang lagi. Ini membawa kepada persoalan, apakah Rukunegara bukan sesuatu yang dititikberatkan dalam barisan pembangkang?

Mungkin perlu juga diingatkan kembali tentang titah Majlis Raja-raja Melayu pada 10 Oktober 2017 tentang pentingnya perpaduan dan Rukunegara untuk diperkasakan dan dipandang serius. Jika pembangkang benar-benar boleh menerima teguran dan ambil berat tentang apa yang berlaku dalam kalangan masyarakat, sudah tentu, pihak pembangkang akan menitikberatkan isu perpaduan dalam usahanya menakluk Putrajaya. Rukunegara seharusnya diberi penekanan dan menjadi antara elemen yang perlu ada dalam masyarakat sama ada golongan pemimpin, mahupun rakyat yang dipimpin.

Sehubungan dengan itu, perpaduan tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang bersifat semula jadi semata-mata. Ya, benar ada orang berkata bayi akan menangis bila mendengar tangisan bayi yang lain sebagai simbol perpaduan bayi. Tetapi kita semua bukannya bayi! Kita telah ditanam sentimen-sentimen yang bermain api perkauman pada masa ini khasnya daripada parti-parti politik berasaskan kaum. Lihat sahaja 2 minggu awal pada tahun 2018, beberapa sentimen perkauman telah kembali dimainkan. Dari Pasar Ikan Kuala Selangor hinggalah ke Biasiswa Bumiputera yang bakal merencatkan perpaduan. Jika perpaduan tidak dijadikan dasar dan manifesto, maka membina negara Malaysia adalah satu halangan. Mewujudkan bangsa Malaysia akan menjadi satu cabaran.

Akhir kata, semoga kita semua meletakkan perpaduan sebagai syarat utama dalam kehidupan masyarakat majmuk. Bukanlah penulisan ini bermaksud hendak mencemarkan imej mahupun menyimbah arang ke muka saudara mahupun pembangkang. Ini hanyalah suatu perasaan mengambil berat daripada seorang warganegara kepada saudara sewarganegaranya. Semoga berjaya buat semua yang bertanding dalam pilhanraya tanpa mencemarkan persaudaraan kita yang indah yang terhasil daripada toleransi nenek moyang kita.

Image source: http://1.bp.blogspot.com

Recent Posts