Apabila Rukunegara diabaikan

Setahun selepas usaha menjadikan Rukunegara Mukadimah Perlembagaan telah berlalu, pelbagai perkara kini mungkin boleh kita muhasabahkan bersama. Pelancaran kempen ini pada 23 Januari 2017 pada tahun lepas oleh sekumpulan aktivis yang komited dalam memperjuangkan perpaduan kaum ternyata meninggalkan impak yang cukup besar. Sehingga hari ini, usaha tersebut yang mendapat sokongan dan tentangan daripada pelbagai pihak masih relevan untuk diperkatakan.
Tentangan yang diberikan terhadap usaha ini juga turut difahami dan kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan dan mewujudkan masyarakat yang berpecah belah, maka pendekatan lain diambil iaitu daripada niat awal menjadikan Rukunegara sebagai mukadimah perlembagaan kepada memperkasakan Rukunegara melalui kewujudan sebuah akta khas kepada falsafah kebangsaan ini. Sehingga ke hari ini, usaha ini masih lagi sedang giat dijalankan.
Kenapa perlunya kita bersungguh-sungguh menjadikan Rukunegara sebagai simbolik perpaduan kita? Untuk memahaminya, pertama sekali, kita perlu menghayati apa yang dicita-citakan oleh Rukunegara dalam matlamatnya dan juga prinsip-prinsipnya. Malangnya, kebanyakan kita, hanya mengenal Rukunegara sekadar prinsip semata-mata. Kita telah mengabaikan falsafah kebangsaan ini terlalu lama. Hasilnya, kita sendiri tidak tahu teks penuh Rukunegara apatah lagi mahu menghayatinya.
Pengabaian terhadap Rukunegara telah menzahirkan implikasi yang negatif khasnya dalam tatacara kehidupan masyarakat. Pelbagai tingkah laku negatif dan kebejatan moral berlaku kerana kita tidak berpegang teguh kepada ideologi yang dicipta khas untuk rakyat Malaysia ini. Lihat sahaja pada awal pembukaan tahun 2018 ini beberapa ketidakharmonian yang berlaku dalam masyarakat? Dari isu sekecil membuang sampah hinggalah tidak menghormati institusi beraja. Kita sedang mengalami krisis akibat pengabaian Rukunegara dalam kehidupan masyarakat majmuk.
Kes membuang kerusi daripada tingkat atas pangsapuri yang telah menyebabkan maut merupakan satu kes yang membuka mata kita terhadap perangai jelik rakyat Malaysia. Kisah kerusi terbang ini telah membuka pekong masyarakat kota yang telah menjadikan perkara membuang sampah daripada tingkat atas rumah sebagai satu kebiasaan dalam kehidupan. Tidak tahu hendak dibandingkan dengan apa, tetapi jika melihat haiwan di dalam zoo juga kita mencampakkan makanan dengan sopan, tetapi apabila di kawasan perumahan, yang kita campakkan adalah, sampah, kerusi, televisyen dan nilai kesopanan dan kesusilaan. Inilah yang membawa kepada lahirnya manusia tidak sopan dalam kalangan warganegara.
Kedua, lihat pula bagaimana institusi beraja kita dijadikan bahan lawak oleh masyarakat Malaysia. Penyebaran video Yang Maha Mulia sedang tidur dan kemudian dijadikan bahan jenaka dalam suatu pengucapan awam dengan jelas sekali menunjukkan bahawa prinsip kesetiaan kepada raja dan negara telah ditanam dalam tanah setinggi tujuh kaki dan dibacakan talkin. Kemurkaan Yang Maha Mulia ternyata langsung tidak mengundang rasa kesetiaan dalam kalangan masyarakat yang lain kerana kita sudah tidak lagi menghayati betapa pentingnya Raja sebagai simbol kemegahan negara ini yang menyanjung tinggi semangat Raja Berpelembagaan. Inilah kesannya akibat mengabaikan Rukunegara.
Ketika usaha Rukunegara Mukadimah Perlembagaan dijalankan, terdapat segelintir pihak yang takut sekiranya, Rukunegara wujud dalam perlembagaan maka wujudnya masyarakat yang liberal dan progresif yang akan menuntut hak mereka. Sedangkan liberal yang dimaksudkan ialah tradisi yang liberal dan masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dalam kehidupan. Ketakutan mereka terhadap dua perkataan ini mungkin atas rasa untuk mengawal agama dalam kehidupan bermasyarakat. Tetapi adakah agama telah dihayati dengan sepenuh hati pada dewasa ini? Berita yang sangat mengejutkan apabila dilaporkan seorang wanita tidak menutup aurat dengan sempurna dipukul di khalayak ramai oleh seorang lelaki. Benar, satu tidak mewakili semua, tetapi kenapa perkara sebegini berlaku walaupun kita tidak dipengaruhi oleh golongan yang liberal dan progresif yang kita takuti tadi?
Ini kerana keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang tidak menjadi pegangan dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Maka mereka bertindak menghukum dengan cara sendiri. Mereka adalah penjalan hukuman kononnya. Mereka lupa bahawa negara berdaulat ini, didirikan dengan Perlembagaan yang cukup matang, dan undang-undang kita bertujuan untuk mengawal dengan sopan tingkah laku manusia. Kenapa perlembagaan dan undang-undang diabaikan? Jawapannya mudah. Ini kerana mereka tidak menghayati Rukunegara dalam kehidupan mereka sebagai rakyat Malaysia.
Selagi kita masih lagi bersifat menolak dan mengabaikan Rukunegara, kita tidak akan mampu mencapai matlamat yang pertama, iaitu— Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat di Malaysia. Kita masih lagi terperangkap dengan dakyah-dakyah perkauman yang menghalang kita untuk terus bersatu dan maju. Selagi kita semua tidak menjadikan matlamat Rukunegara yang pertama ini sebagai jalan hidup kita ke arah mewujudkan sebuah bangsa Malaysia yang bersatu, selagi itulah, kita tidak akan berjaya mencapai perpaduan yang membawa kepada kesejahteraan.
Oleh yang demikian, janganlah kita lupakan falsafah kebangsaan ini. Mungkin Rukun Negara tidak sesuai dijadikan mukadimah dalam perlembagaan Malaysia, tetapi Rukunegara perlu diberi satu akta khas supaya ia tidak lagi diabaikan baik oleh golongan pemerintah mahupun masyarakat. Percayalah, sekiranya Rukunegara diamalkan dengan baik, diamalkan dengan cara mengikuti prinsip-prinsipnya untuk mencapai segala matlamat Rukunegara, Malaysia pasti akan menjadi lebih baik.

Image source: http://sinarharian.com.my

Recent Posts