Mencapai kesejahteraan

Usai mendengar penerangan dan pembentangan daripada Profesor Ulung Shamsul Amri pada program Dialog Rakyat 3 yang bertempat di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 22 Mei 2017 yang lepas telah membawa kepada satu pemahaman yang baru terhadap kisah perpaduan di negara ini. 3 istilah penting iaitu perpaduan, kesepaduan, dan penyatuan diceritakan dengan penuh terperinci dan begitu menarik oleh beliau sepanjang pembentangan beliau. 3 istilah ini walaupun diambil dari kata  akar yang sama tetapi jelas sekali membawa makna yang berbeza.

3 perkataan ini jika dikaji dari aspek makna dan perbendaharaan katanya jelas sekali membawa konotasi yang berbeza. Perpaduan merujuk kepada keadaan atau hal berpadu. Kesepaduan pula menurut kamus dewan memberi makna keadaan bersepadu iaitu perihal bersepadu menjadi kesatuan yang utuh. Penyatuan pula mendukung erti proses menyatu atau menyatukan. Ketiga-tiganya membawa konotasi berbeza tetapi secara tidak langsung berkait antara satu sama lain.

Melalui 3 aspek ini, secara tidak langsung kita boleh mengaitkannya dengan situasi kita di Malaysia. Malaysia yang dihuni manusia pelbagai etnik yang bertunjangkan perpaduan ini sebenarnya sedang berada di tahap mana? Perpaduan? Kesepaduan? Ataupun penyatuan? Benarkah kita masyarakat yang benar-benar telah mengenali satu sama lain. Atau kita masih lagi berada pada tahap sedang mengenali antara satu lain.

Melihat isu-isu yang melibatkan perpaduan di negara kita, sehingga kini usaha perpaduan masih lagi giat dijalankan oleh pelbagai pihak dan agensi. Kerajaan melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional bergiat aktif dalam melestarikan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Sejak usaha Rukunegara di zaman Tun Abdul Razak, diikuti oleh Wawasan 2020 oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, dan Perdana Menteri kita sekarang melalui usaha gagasan 1Malaysia kita melihat dengan jelas bahawa barisan Perdana Menteri kita adalah seseorang yang meletakkan perpaduan sebagai manifestasi utama pimpinan.

Inisiatif lain seperti Negaraku, Transformasi Nasional 50,  pembinaan sekolah wawasan antara usaha kerajaan ke arah menyemarakkan lagi perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.

Tidak ketinggalan juga usaha yang digerakkan oleh badan bukan kerajaan seperti Yayasan 1Malaysia, Asian Strategy and Leadership Insitute (ASLI), PCORE dan sebagainya. Yayasan 1Malaysia yang meletakkan perpaduan sebagai tunjang utama penubuhan merangka pelbagai program dan aktiviti yang melibatkan integrasi kaum. Pelaksanaan polisi dan dasar yang cuba diketengahkan oleh Yayasan 1Malaysia seperti cetusan idea memperkasakan Rukunegara tiada niat lain selain mahu melihat Rukunegara diberikan hak istimewa dalam perlembagaan sekaligus mengukuhkan peranannya sebagai agen penyatuan negara melalui matlamatnya yang pertama iaitu mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan masyarakat.

ASLI dan beberapa badan lain pula melalui penganjuran Dialog Rakyat, sebuah cetusan idea daripada Tan Sri Omar Abdul Rahman menjadi platform untuk memperlihatkan bagaimana pelbagai jenis golongan masyarakat telah berusaha untuk mempromosikan kohesi dan perpaduan sebaik mungkin. Usaha mengumpulkan sekumpulan pakar daripada pelbagai institusi seperti universiti, majlis bandaraya, individu dan NGO dilihat telah menjadi sebuah batu loncatan untuk kita bercakap tentang isu perpaduan di Malaysia. Ini adalah antara contoh-contoh usaha perpaduan yang telah dilakukan.

Secara tidak sedar, sebenarnya, terdapat satu lagi entiti yang telah mengambil inisiatif secara tidak sedar dalam mempromosikan perpaduan di negara ini. Entiti tersebut ialah masyarakat Malaysia sendiri yang secara jelas telah menzahirkan tentang perpaduan melalui tindakan yang secara separa sedar tetapi tidak diperkatakan setiap hari. Perpaduan melalui masyarakat Malaysia dizahirkan melalui toleransi kita apabila terdapat sambutan kenduri perkahwinan di seluruh Malaysia. Seperti yang dijelaskan oleh Prof Ulung Shamsul Amri ketika Dialog Rakyat 3 :

Setiap minggu, pasti terdapat upacara perkahwinan di negara ini. Di mana-mana tempat di mana-mana kawasan di negara ini. Dalam satu kejiranan apabila khemah untuk perkahwinan didirikan, setiap kaum pasti akan bertolak ansur apabila jalan ditutup dan tiada siapa pun yang akan tidak berpuas hati tentangnya. Sebaliknya setiap masyarakat akan meraikan perkahwinan sesuatu kaum dan cuba untuk bertolak ansur sebaik mungkin. Bayangkan jika setiap hujung minggu terdapat beribu majlis perkahwinan di Malaysia maka berapa ramai yang telah memperlihatkan indahnya toleransi dan perpaduan yang wujud dalam masyarakat di Malaysia.

Walau bagaimanapun, setiap apa yang telah dilakukan ini masih lagi tidak mampu untuk membawa penyatuan yang benar-benar menjadikan kita sebagai satu bangsa Malaysia. Tidak dapat dinafikan bahawa kita masih lagi berada dalam tahap pertama iaitu tahap perpaduan. Pada masa ini, dalam 2 tahun lagi menuju 2020 kita masih lagi sekadar rakyat Malaysia yang berintegrasi antara satu sama lain. Kita belum lagi mencapai tahap penyatuan yakni perpaduan yang benar-benar utuh.

Pelbagai inisiatif yang telah dijalankan pada masa kini seharusnya dikukuhkan lagi. Namun yang paling penting ialah, masyarakat seharusnya menjadi penggerak utama dalam mewujudkan bangsa yang benar-benar bersatu. Terdapat banyak faktor luaran yang menghalang kita mencapai penyatuan. Tetapi, kitalah yang akan menentukan sama ada kita mampu merealisasikan penyatuan yang dimulakan dengan perpaduan, dikukuhkan dengan kesatuan dan akhirnya berjaya mewujudkan penyatuan.

Melalui ketiga-tiga aspek ini, pada akhirnya, kita mengidamkan kesejahteraan yang menjadi cara hidup rakyat Malaysia. Kesejahteraan adalah elemen yang diperlukan dalam masyarakat pelbagai kaum di Malaysia ini. Kita sedang melangkah ke arah tersebut. Perlahan tetapi kita melangkah bersama dengan tegapnya menuju ke laluan untuk penyatuan yang diidamkan.

2017 menyaksikan empat siri Dialog Rakyat telah diadakan. Pada 2018, beberapa lagi siri Dialog Rakyat akan dianjurkan sehinggalah usaha merangka Tata Kelakuan Etika (Code of Ethical Conduct) berjaya dihasilkan untuk kesejahteraan seluruh masyarakat majmuk di Malaysia. Sesiapa yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang Dialog Rakyat dan ingin memberikan sokongan bolehlah melayari https://www.facebook.com/dialograkyatunity

Image source: http://yayasandharmais.or.id

Recent Posts