Membuat Kebaikan, Mencapai Perpaduan

 

Pelancaran Kempen #Standtogether Minggu Baik Hati Kebangsaan (National Kindness Week) yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), UNICEF Malaysia dan R.AGE, Star Media Group semalam merupakan satu inisiatif yang bertujuan untuk menangani isu buli di sekolah dengan memberi penekanan kepada aspek kesejahteraan serta mengamalkan nilai-nilai positif dalam kalangan murid dan seluruh komuniti di sekolah untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan kondusif di bilik darjah, sekolah dan masyarakat.

 

Yayasan 1Malaysia amat mengalu-alukan inisiatif yang begitu bermakna ini malah untuk pengetahuan semua Yayasan 1Malaysia pernah mengadakan aktiviti sebegini di dalam aktiviti sekolah mereka sejak dari tahun 2015. Projek yang dikenali sebagai “In Kindness, We Unite” ini merupakan satu program yang berasaskan kepada kerja kumpulan yang melibatkan pelajar untuk membincangkan dan menjalankan satu projek yang boleh membawa perpaduan semasa melakukan kebaikan.

 

Kebaikan yang dimaksudkan adalah sama ada memberi kebaikan kepada keluarga, kawan, sekolah, masyarakat mahupun negara. Dalam proses membuat kebaikan tersebut, nilai-nilai perpaduan harus ditonjolkan.

 

Impak yang dapat diperolehi sebelum, semasa dan selepas melaksanakan projek adalah positif dan memberangsangkan iaitu menghasilkan sekumpulan belia yang mempunyai sikap bertanggungjawab, kepimpinan, perpaduan dan kebersamaan.

 

Yayasan 1 Malaysia telah menjalankan projek perintisnya di SMK Tinggi Kajang dan Asrama 1 Malaysia pada tahun 2015. Sebanyak 8 projek telah dihasilkan oleh pelajar-pelajar Tingkatan Enam SMK Tinggi Kajang dan 3 projek oleh penghuni di Asrama 1 Malaysia. Projek-projek yang dihasilkan ini kebanyakannya membawa kebaikan kepada masyarakat umum seperti di rumah orang tua, rumah anak yatim, kanak-kanak penyakit kanser, pesakit di hospital dan sebagainya.

Salah satu projek yang dijalankan oleh lapan orang pelajar Tingkatan Enam di SMK Tinggi Kajang adalah menggunakan dua minggu cuti sekolah mereka mencuci kereta awam di perkarangan sekolah bagi mengumpul wang untuk diberikan kepada rumah orang tua yang memerlukan.

 

Idea kelapan-lapan pelajar ini telah mendapat sokongan daripada Pengetua dan guru-guru serta rakan-rakan mereka. Sekolah menyokong dari segi menyediakan tempat dan bekalan air manakala guru-guru dan rakan-rakan akan mempromosi projek ini malah ramai yang turut serta dalam membantu menjayakan projek ini.

 

Projek yang pada asalnya mempunyai hanya lapan orang ahli telah bertambah semakin hari. Dalam tempoh kurang daripada dua minggu, mereka berjaya mengumpul sebanyak RM705 dengan cucian sebuah kereta RM10.

 

Dengan wang yang berjaya dikumpul, mereka membeli barang keperluan dan mengadakan satu jamuan kecil di rumah orang tua pilihan mereka. Mereka memilih Rumah Amal Murni Kajang yang terdiri daripada 23 orang tua. Walaupun kebanyakannya penghuni di Rumah tersebut adalah berbangsa Cina, namun ia tidak menghalang kedua-dua penjaga Rumah itu yang berbangsa Melayu untuk bekerja di situ selama 3 tahun. Amat jarang untuk kita melihat sebuah rumah amal yang terdiri daripada penghuni dan penjaga yang berbilang kaum.

 

Kewajaran dalam memilih tempat membuat kebaikan ini juga menunjukkan kematangan pelajar-pelajar. Ditambah pula dengan penglibatan guru-guru, ibu bapa dan rakan-rakan telah memeriahkan lagi projek yang dilaksanakan. Dalam projek ini, Yayasan 1Malaysia tidak memberi sebarang bantuan kewangan kepada mereka malah pelajar-pelajar ini tidak mengharapkan sebarang pulangan.

 

Program “In Kindness, We Unite” ini tidak berhenti begitu sahaja. Lebih banyak sekolah di sekitar kawasan Kuala Lumpur dan Selangor telah menyertai program “In Kindness, We Unite” ini pada tahun-tahun seterusnya sehinggalah ke hari ini. Yayasan 1Malaysia juga mengubahsuai program ini dengan menambahkan cita-cita dan prinsip-prinsip Rukunegara sebagai salah satu kriterianya.

Yayasan 1Malaysia berharap agar Minggu Baik Hati Kebangsaan ini akan menjadi satu permulaan kepada semua masyarakat untuk membuat kebaikan dan kesedaran kepada semua akan kepentingan membuat kebaikan. Membuat kebaikan bukan sahaja boleh menangani masalah buli di sekolah malah boleh merapatkan hubungan di antara manusia yang mempunyai matlamat yang sama.

Image source: http://bp.blogspot.com

Recent Posts