Kesopanan dan kesusilaan dalam PRU 14

Gendang pilihanraya telah pun dipalu. Gendang perang 2 atau lebih dari 3 penjuru sedang dipalu oleh kesemua wakil-wakil rakyat, parti-parti yang bertanding serta tidak kurang juga gamatnya tempik soldadu daripada penyokong mana-mana parti. Baik Barisan, mahupun Pakatan ataupun Gagasan, kita semua akan meraikan proses demokrasi 5 tahun sekali yang akan membawa kita ke arah menentukan siapa yang akan memimpin negara majmuk berteraskan demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan ini.
Pilihanraya Umum 14(PRU 14) kali ini memperlihatkan senario yang jelas berbeza berbanding senario-senario PRU 13 dan PRU 12. Pada PRU 14 kali ini sekali lagi kita melihat bagaimana bekas Perdana Menteri tidak bersama dengan kerajaan pada masa kini untuk berjuang dalam pilihan raya. Ya, frasa sekali lagi itu memang sengaja diletak kerana Dr Mahathir Mohamad bukanlah satu-satunya bekas Perdana Menteri yang tidak menyokong pimpinan kerajaan ketika pilihanraya. Ini kerana suatu masa dahulu pimpinan Dr Mahathir sendiri pernah dikecam oleh Bapa Kemerdekaan Malaysia. Allahyarham Tunku Abdul Rahman.
Sebagaimana Datuk Seri Najib Razak diserang ketika memimpin kerajaan dengan kata-kata rasuah, kronisme, tidak telus dan sebagainya, Dr Mahathir Mohammad juga menerima nasib yang sama apabila Tunku sendiri mengkritik banyak tindakan Dr. Mahathir yang disifatkan sebagai membebankan rakyat. Ketika itu, isu-isu sama sahaja dibangkitkan – negara bakal muflis, kos sara hidup tinggi, rasuah, dan kronisme. Jadi, sejarah kembali berulang dengan skrip yang sama, cuma pemainnya sahaja yang berbeza.
Tidaklah keterlaluan untuk kita meraikan perbezaan politik ini dengan seni-seni politik dalam memenangi hati rakyat. Cuma ada satu hasrat yang diharapkan dapat dikendong sebagai satu harapan oleh kesemua pemain politik pada PRU keempat belas ini. Adalah amat diharapkan agar baik golongan pemimpin parti, golongan pentaksub parti dan golongan media parti, untuk senantiasa menjaga dengan baik sama ada lisan, tulisan dan ehsan dalam diri masing-masing. Sentiasalah bersopan dan mempunyai tatasusila sepanjang kempen berlangsung sehinggalah tamatnya pilihanraya tahun ini.
Setiap pihak, amatlah diharapkan agar mampu mendukung tinggi prinsip yang diajar sejak bangku sekolah iaitu prinsip rukunegara kelima yakni Kesopanan dan Kesusilaan. Berpeganglah pada dua kata kunci ini, nescaya PRU14 yang penuh demokrasi akan berjalan dengan jayanya. Mampukah kita semua wahai rakyat Malaysia yang terkenal dengan budi bahasa penuh santunnya, dan akhlak yang elok dijaga semenjak dalam buai dan pangkuan bonda? Mampukah kita untuk mengelak diri dari melabel dan menggelar orang lain dalam usaha menjatuhkan lawan kita?
Sejenak ditampilkan beberapa ayat yang sering digunakan seperti Baziran Nasional, Pakatun Harapan, macai, bebal, DAPig, Anwar Jubori, dan kafir-mengkafir, ini semua adalah sampah-sampah yang telah kita laungkan agak lama sejak zaman dahulu lagi. Ada pihak yang sengaja telah mencetuskan gelaran-gelaran ini. Dan kesan buruknya ia telah mewujudkan balasan daripada pihak satu lagi. Kesan jangka masa panjangnya, sehingga ke hari ini, perkataan-perkataan sampah yang telah digunakan ini masih wujud sehingga ke hari ini. Bagi yang pernah menggunakan segala perkataan ini dan perkataan selainnya, ada satu soalan yang harus anda tanya kembali pada diri. Adakah mulut yang sama menuturkan perkataan ini digunakan untuk mencium kedua ibu bapa yang kita kasihi?
Saya percaya, politik 2018 tidak menekankan serangan peribadi, kata-kata lucah dan juga gelaran-gelaran sampah kepada pemain politik. Ini dapat dilihat daripada peribadi Ketua-ketua Pemuda setiap Parti. Lihat sahaja kemesraan dan kesantunan YB Khairy Jamaluddin yang sentiasa menjaga tutur katanya. Lihat pula bagaimana Syed Saddiq yang tidak mengamalkan balasan politik kotor atau membalas carutan kepada mereka yang mencarutkannya. Dan saya percaya, Gagasan juga seharusnya sedar bahawa bahasa-bahasa sampah adalah harus dielakkan kerana agama melarang berkata sesuatu yang tidak elok yang boleh melukakan hati.
Maka dengan ini, adalah sekali lagi diharapkan bahawa tiada isu-isu yang akan merencatkan keharmonian Malaysia khasnya dalam pilihanraya keempat belas ini. Ini adalah waktu yang sesuai untuk kita semua meraikan politik yang penuh dengan adab dan tatasusila. Berhujahlah dengan fakta dan teguran yang membina. Kritik dan perdebatkan manifesto dengan geliga tanpa perlu menyerang peribadi atau bernista. Jangan rosakkan susu dengan setitik nila. Tidak kira apa jua keputusan PRU 14 kali ini, terima dengan hati terbuka tanpa makian dan cacian yang merosakkan imej bangsa dan budaya. Hormati yang tua, sanjungi yang muda, kerana walau apa pun warna baju dan bendera yang kita pakai dan kibar, walau apa juga laungan keramat dan azimat serta amanat yang kita bawa, kita semua adalah SAUDARA. Jika bukan SAUDARA SEAGAMA, kita SAUDARA SATU MALAYSIA. MALAH KITA SAUDARA SATU UMAT — UMAT MANUSIA. Demi tanah air, bangsa, agama dan budaya. Ayuhlah kita meraikan pilihanraya, dengan penuh prinsip kesopanan dan kesusilaan.

Image source: http://bp.blogspot.com

Recent Posts