Persempadanan semula dan perpaduan negara

Untuk membincangkan tentang persempadanan semula, seseorang harus cakna dengan apa yang dimaksudkan dengan persempadanan semula. Persempadanan semula bukanlah semata-mata propaganda politik mahupun senjata untuk memenangi pilihanraya malah ia lebih dari itu. Persempadanan semula merupakan satu proses perlembagaan. Proses ini diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dimana Suruhanjaya Pilihanraya diwujudkan dan dipertanggungjawabkan untuk menjalankan pilihan raya bagi Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri dan menyediakan serta menyemak daftar pemilih bagi pilihan raya itu.

Proses persempadanan semula ini adalah salah satu bidang kuasa SPR, dimana SPR melalui Perlembagaan Malaysia berhak untuk membenarkan urusan persempadanan dibuat bagi tempoh minima setiap 8 tahun sekali atau sekiranya berlaku pewujudan wilayah baru, atau penambahan atau pengurangan bilangan kerusi dewan. Walaupun begitu, di Malaysia, pelaksanaan ini tidak dijalankan secara tetap. Kali terakhir urusan persempadanan ini dibuat pada tahun 2003 iaitu 15 tahun dahulu. Inilah yang menyebabkan kekeliruan terhadap motif sebenar persempadanan semula yang dilakukan menjelang PRU ke 14 pada tahun ini. Walau bagaimanapun, terdapat mereka yang sedar bahawa persempadanan semula seharusnya dibuat mengikut garis masa yang telah ditetapkan bagi mewujudkan keadilan khasnya bagi badan Suruhanjaya Pilihanraya itu sendiri.

Selain memperlihatkan keadilan SPR, satu lagi perkara yang paling penting dalam menentukan persempadanan semula ialah segregasi etnik yang seharusnya tidak membawa kita berpecah mengikut kaum-kaum yang utama. Persempadanan semula, seperti yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan pada perkara 116 dan 117 yang menuntut kita untuk mengambil kira pemeliharaan hubungan tempatan adalah melarang sama sekali persempadanan semula yang boleh mewujudkan segregasi etnik bagi mengelakkan berlakunya wujud sikap perkauman dalam memilih wakil calon yang hendak bertanding dalam sesuatu kawasan nanti. Faktor etnik, desa dan bandar, serta pemberatan yang adil adalah ditekankan bagi mengelakkan kita kembali ke zaman lampau, zaman pecah dan perintah. Tidak, kita tidak akan kembali ke zaman itu sekiranya SPR melakukan persempadanan semula berdasarkan apa yang telah termaktub dalam perlembagaan persekutuan.

Berdasarkan apa yang dilakukan SPR pada persempadanan semula pada PRU 14 ini, seharusnya kita akui bahawa polarisasi kaum sememangnya telah diambil kira dan tidak berlaku isu segregasi etnik yang benar-benar jelas. Setiap tempat yang dicadangkan untuk persempadanan semula telah dikaji dengan teliti, dan kepercayaan sepenuhnya diberikan kepada SPR selaku badan yang diberi autoriti yang benar-benar berintegriti khasnya dalam menentukan masa depan Malaysia baik dari segi keadilan, mahupun  perkauman. Syabas Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia atas tindakan cemerlang ini.

Tidak dapat dinafikan bahawa sememangnya persempadanan politik ini bermotifkan politik. Namun begitu SPR bukanlah pihak yang seharusnya kita persalahkan seratus peratus. Ini merupakan kelebihan kepada pihak kerajaan, bukan sahaja di Malaysia malahan di kebanyakan negara selain Malaysia juga menggunakan strategi ini untuk memenangi undi rakyat. Benarkah kenyataan ini? Bukankah SPR yang membuat persempadanan semula? Mengapa pula pihak kerajaan yang dituding jari atas isu ini?

Untuk menjawab persoalan ini, kita harus menyingkap sejarah persempadanan semula pada 1962. Persempadanan semula ini telah dipinda oleh parti yang memerintah Malaysia sejak 1962 lagi . Pada Tahun 1962, Parti Perikatan yang merupakan kerajaan pada ketika itu, telah meminda Akta 14/1962 Akta Perlembagaan (Pindaan) 1962, Tindakan kerajaan ini adalah bertujuan untuk mengambil langkah yang mengurangkan kuasa Suruhanjaya Pilihanraya. Tindakan barisan kerajaan yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman pada ketika itu telah meletakkan hak untuk melakukan persempadanan semula diberikan kepada Dewan Rakyat berbanding SPR. Hal ini, tidak lain tidak bukan untuk memastikan pihak yang memerintah mempunyai kuasa untuk menentukan persempadanan bagi memastikan kerajaan terus berkuasa.

Dikhabarkan atas ketidakpuasan hati terhadap tindakan pimpinan Tunku pada ketika itu, Pengerusi SPR pada masa itu, Dato’ Haji Mustapha Albakri Haji Hassan telah meletakkan jawatan sebagai tanda tidak bersetuju dengan tindakan politik ini. Ini kerana, tindakan ini telah menyebabkan campur tangan ahli politik dalam badan yang sepatutnya bebas dalam menguruskan hal tadbir negara khasnya urusan berkenaan pilihanraya. Walau bagaimanapun, Akta Perlembagaan Pindaan 1962 itu tetap diteruskan dan sehingga kini, pimpinan kerajaan masih mempunyai kuasa dalam melibatkan diri dalam isu persempadanan semula.

Jika dinilai segala aspek tentang persempadanan semula ini, seharusnya, kuasa mutlak dan metodologi yang hendak diambil haruslah diberikan kepada Suruhanjaya Pilihanraya yang merupakan badan bebas seperti mana pada awal tahun penubuhannya pada 1957. Sebaiknya, campur tangan hatta daripada pihak kerajaan sekalipun sebaiknya harus dielakkan bagi mewujudkan Suruhanjaya Pilihanraya yang benar-benar telus dan bebas. Ini bukan sahaja akan menjamin keadilan dalam setiap perbuatan tetapi rakyat juga akan mengakui betapa Malaysia sebagai sebuah negara yang benar-benar meletakkan konsep keadilan dalam memperjuangkan hak-hak untuk rakyat dan negara.

Sekilas sebelum PRU 14 memulakan langkahnya, diharapkan agar persempadanan semula ini tidak akan melonggarkan perpaduan sesama daerah, sesama kejiranan, sesama kawasan, dan sesama negara. Ini bukanlah PRU kita yang pertama, tetapi ini hanyalah PRU yang sekali lagi menuntut kita untuk terus-menerus hidup bersama. Mungkin warna baju dan bendera kita tidak sama, tetapi negara yang kita cintai, ini namanya akan kekal Malaysia sehingga penghujung masa. Semoga perpaduan akan sentiasa tersemai dalam apa jua tindakan kita pada masa dulu, kini dan selamanya.

Image source: http://freemalaysiatoday.com

Recent Posts